KOTA BHARU: Pakatan Harapan (PH) Gua Musang berharap mereka diberikan ruang untuk bertanding dan merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan di kawasan tersebut.
Pengerusinya Asharun Uji berkata, bagaimanapun beliau menerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti diperingkat pusat dan negeri untuk membuat keputusan berhubung perkara tersebut.
“Kami (PH Gua Musang) mengemukakan syor ini kerana mempunyai calon yang layak menawarkan diri bertanding di DUN berkenaan. Namun segala keputusan dibuat oleh kepimpinan parti gabungan dalam PH.
“Namun, saya difahamkan rakan gabungan PH iaitu Barisan Nasional (BN) mahu meletakan calon di sini kerana mereka sudah bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) lalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Asharun memberitahu, suasana politik Malaysia hari ini sudah berubah apabila rakyat dilihat lebih selesa memilih calon yang mampu berkhidmat kepada mereka.
Katanya, sebaik sahaja Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengumumkan kekosongan itu PH Gua Musang terus membuat persiapan ke arah PRK.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri milik Mohd. Azizi Abu Naim kosong bermula Rabu lalu.
Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima satu notis bertulis daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun lalu.
Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 28 Jun bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya berkenaan.
Pada PRN15 lalu, Mohd. Azizi menewaskan penyadang kerusi berkenaan Abd. Aziz Yusof dengan majoriti 815 undi.-UTUSAN










