Bela lembu berbaloi banding makan gaji

Bela lembu berbaloi banding makan gaji

AIMAN Asyraf Kamarudin menunjukkan sebahagian daripada lembu yang diternak di Kampung Tok Fakir, Merchang, Marang, semalam. – UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Bermula dengan lima ekor lembu pada tahun 2018, seorang pemuda kini bergelar penternak berjaya apabila memiliki 43 ekor lembu pelbagai jenis termasuk lembu sado.

Aiman Asyraf Kamarudin, 33, berkata, dia terpanggil untuk menceburi bidang penternakan setelah mendapati penternak tempatan hanya mampu membekalkan kira-kira 30 peratus daripada keperluan bekalan daging negara manakala selebihnya diimport.

Menurutnya, dia nekad berhenti kerja sebagai penyelia projek di sebuah syarikat di Kuantan dan mengusahakan ternakan lembu fidlot di Kampung Tok Fakir, Merchang, di sini.

“Pada mulanya, kami memberi fokus kepada lembu baka Brahman dan selepas projek itu mendapat sambutan, saya mula menternak lembu sado pada 2022 dengan fokus mengeluarkan lembu pedaging baka Charolais dan Limousine.

“Alhamdulillah segala penat lelah saya berbaloi apabila kini memiliki lapan ekor lembu sado baka Charolais dan Limousine serta 35 ekor lembu baka Brahman yang menjadi sumber rezeki saya pada masa sekarang,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Bekas graduan Diploma Pembuatan, Kolej Universiti TATI (UC TATI) itu berkata, dia menubuhkan AIDEN Cattle Farm enam tahun lalu untuk lebih serius dalam bidang penternakan dan jihad ekonomi untuk umat Islam.

Menurutnya, dia memberi makanan terbaik seperti jagung, silaj dan rumput segar selain pallet yang menjadi diet utama bagi memastikan daging lembu peliharaannya berkualiti.

“Alhamdulillah, tekstur daging itu terutama baka Charolais dan Limousine lebih berkualiti kerana kurang lemak, padat dan lebih lembut dan menjadi pilihan orang ramai untuk mendapatkan lembu ibadah korban,” katanya.

Lebih mengujakan Aiman apabila dia terpilih sebagai calon Penternak Jaya 2024 Peringkat Daerah Marang oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu di sini, baru-baru ini.

“Awal tahun ini AIDEN Cattle Farm turut mendapat pengiktirafan sebagai Kandang Bimbingan Jabatan Veterinar Negeri Terengganu,” katanya yang tidak menyesal meninggal kerja makan gaji dengan menceburi bidang ternakan lembu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×