Baik pulih sekolah, klinik: MOF diarah peruntuk RM100j

Baik pulih sekolah, klinik: MOF diarah peruntuk RM100j

ANWAR Ibrahim dan Abang Johari Tun Openg ketika merasmikan Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2024 di Kuching, malam kelmarin. – GAMBAR FB ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Kementerian Kewangan (MOF) diarah memperuntukkan sejumlah RM100 juta untuk Sarawak bagi mempercepatkan pembangunan projek sekolah dan klinik usang di kawasan luar bandar negeri ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perkara terserbut akan dipercepatkan pada Isnin ini.

“Memandangkan RM200 juta disebut (Premier Sarawak) tadi, Isnin ini saya akan arahkan Kementerian Kewangan keluarkan RM100 juta supaya ia boleh digunakan tanpa sebarang masalah.

“Jika tidak, setiap kali saya berjumpa Premier, dia berta­nya bila hutang akan dibayar. Saya tidak mahu perkara itu berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) Kuching, malam kelmarin.

Anwar pada masa yang sama juga bersetuju ada keperluan untuk memperbaiki sekolah, klinik yang daif di negeri ini dan juga membina hospital kanser.

“Jika kita boleh mempercepatkan proses itu, kita harus meluluskannya. Ini kerana, Sarawak perlu mengutamakannya terlebih dahulu, semudah itu.

“Perkara seperti ini seharusnya tidak ada halangan birokrasi yang akan menyebabkan kelewatan selanjutnya. Malah, terdapat beberapa projek yang bertujuan membaiki klinik di Kapit. Tak perlu tunggu kelulusan dari Putrajaya.

“Ini akan memudahkan dan mempercepatkan projek, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat, dan menunjukkan kepercayaan antara peringkat tempatan, negeri dan Persekutuan.

“Jadi, inilah amanah yang kita mahu bina untuk menguruskan projek,” tegas Anwar.

Terdahulu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap di majlis berkenaan berkata, kerajaan Sarawak sudah bersedia dengan peruntukan RM100 juta untuk membaik pulih sekolah daif, dan RM100 juta lagi untuk klinik daif.

“Bagaimanapun ia hendak dilaksanakan dalam tempoh masa 18 bulan. Ini sudah tentu akan mempercepatkan pembangunan kedua-dua projek daif di luar bandar,” ujar Abang Johari.

Dalam masa yang sama, kata Abang Johari, ia adalah kolaborasi yang baik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×