BERLIN: Pegawai Amerika Syarikat (AS) dan Jerman minggu ini bertemu di Berlin untuk membincangkan mengenai kerjasama berterusan dan rancangan masa depan dalam meneroka angkasa lepas serta sains bumi.
Pemimpin pada Dialog Angkasa AS-Jerman yang julung kali diadakan menyerlahkan komitmen bersama untuk meneruskan kerjasama dalam penerokaan dan penyelidikan angkasa lepas termasuk melalui program Artemis, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA).
Kempen Artemis adalah satu siri misi untuk kembali dan mewujudkan kehadiran jangka panjang di bulan melalui bantuan rakan kongsi antarabangsa.
Menurut memo Jabatan Negara AS, Jerman memainkan peranan penting dalam membangunkan modul untuk kapal angkasa Orion Artemis yang akan digunakan bagi membawa angkasawan dari orbit ke permukaan bulan.
Disember lalu, White House memaklumkan rancangan AS untuk mendaratkan angkasawan antarabangsa di bulan menjelang 2030.
AS dan Jerman turut menekankan perjanjian di antara NASA dan Pusat Aeroangkasa Jerman (DLR) untuk meneruskan pengukuran medan graviti melalui Pemulihan Graviti dan Eksperimen Iklim-Kesinambungan atau misi GRACE-C.
GRACE-C yang diunjur untuk dilancarkan sekurang-kurangnya 2028, melibatkan sepasang satelit terbang satu di belakang satu sama lain di orbit kutub bagi mengukur perubahan graviti bumi dari satu tempat ke satu tempat disebabkan peralihan ais, air dan jisim darat.
Menurut NASA, taburan jisim yang berbeza di permukaan bumi seperti kehilangan jisim akibat ais yang mencair, membawa kepada sedikit variasi dalam tarikan graviti yang boleh dijejak penyelidik dengan mengukur perubahan dalam jarak perjalanan antara dua satelit GRACE-C.
Penyelidik berharap data daripada misi ini akan menghasilkan pandangan baharu mengenai perubahan iklim berdasarkan pengaruh kitaran air.
AS dan Jerman bekerjasama dalam penyelidikan iklim sejak misi GRACE pertama dilancarkan pada 2002 dan misi GRACE-C adalah kesinambungan daripada usaha itu.- AGENSI










