PETALING JAYA: Kedudukan enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang terhenti keahliannya dijangka menghangatkan sidang Penggal Ketiga Parlimen ke-15 hari ini.
Pihak pembangkang dijangka memberi tekanan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk membuat keputusan berhubung isu berkenaan.
Ia susulan Bersatu sudah menyerahkan notis pemakluman kekosongan enam kerusi itu kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, Khamis lalu.
Ia melibatkan kerusi Parlimen Jeli, Gua Musang, Bukit Gantang, Kuala Kangsar, Tanjong Karang dan Labuan.
Felow Penyelidik Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mujibu Abd. Muis berkata, keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang mengisytiharkan kerusi DUN Nenggiri kosong dilihat menjadi kes duluan kepada enam kerusi Parlimen itu.
“Ia akan menjadi tumpuan sebab dalam keadaaan semasa, keputusan Speaker akan jadi pemutus pilihan raya ada atau sebaliknya.
“Namun, jika Speaker tidak mengambil apa-apa tindakan, barangkali mungkin ada pertimbangan membawa (keputusan itu) ke mahkamah. Ia seperti dilakukan oleh penyandang DUN Nenggiri (Mohd. Azizi Abu Naim),” katanya ketika dihubungi, semalam.
Mengulas isu sama, veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Saman berkata, Speaker Dewan Rakyat boleh mengumumkan kekosongan enam kerusi Parlimen terbabit berasaskan kepada perubahan kedudukan ahli Parlimen berkenaan yang sebelum ini di blok pembangkang kepada Bebas.
Menurut beliau, perubahan itu kerana kerana Speaker menganggap mereka sudah terkeluar daripada blok pembangkang.
“Maka Speaker telah pindahkan tempat duduk mereka keluar dari tempat pembangkang. Maknanya sudah ‘lompat’ jadi Bebas.
“Jadi, secara logiknya, Speaker mudah sangat hendak melangkah setapak lagi dengan mengisytiharkan kekosongan terhadap kerusi-kerusi berkenaan. Tetapi, politik ada logiknya tersendiri,” katanya.
Shahrir yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru memberitahu, beliau sudah lama mengikuti perbincangan mengenai isu tersebut dengan perasaan pelik dan geli hati.
“Sekarang ditegaskan Speaker sahaja yang boleh tentukan sama ada kerusi-kerusi mereka itu kosong dan demikian perlu diadakan pilihan raya kecil,” katanya.
Dalam pada itu, bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof berkata, keputusan Speaker terhadap keahlian enam wakil rakyat Bersatu itu yang terhenti secara serta-merta boleh dipersoalkan di mahkamah, terutama kesahan tindakan itu dari sudut perlembagaan.
Mohamad Ariff yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan berkata, Perkara 63(1) hanya merujuk terhadap keesahan apa-apa prosiding dalam Dewan.
“Keputusan Speaker dalam hubungan Perkara 49A tidak sepatunya termasuk dalam makna ‘prosiding dalam Dewan.’ Jika dibawa dalam mahkamah, apa yang akan dicabar ialah isu constitutional validity iaitu sah atau tidaknya keputusan Speaker di sisi Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan pula berkata, Perkara 49A tidak menyatakan kekosongan kerusi bagi ahli Parlimen yang dibuang parti, justeru sukar untuk menjustifikasikan enam kerusi berkenaan kosong.
Selain isu enam kerusi Parlimen Bersatu itu, keputusan kerajaan untuk menjual saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat BlackRock Inc. turut dijangka menjadi tumpuan sidang.
Tumpuan turut terarah kepada usul merujuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan dari Perikatan Nasional (PN) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen yang dijangka dibentangkan hari ini.
Usul tersebut berkaitan dakwaan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu bahawa pertuduhan kes mahkamah yang dihadapinya boleh dibatal dan digugurkan.
Persoalan mengenai perancangan kerajaan bagi membanteras budaya darkside (DS) dan tindakan yang akan diambil terhadap pengendali akaun yang menawarkan aktiviti pelacuran dalam talian seperti platform X dan Telegram juga antara topik dijangka menjadi tumpuan ketika sesi jawab lisan. – UTUSAN









