KLUANG: Lima remaja ditahan polis kerana disyaki mencuri sebuah motosikal di Jalan Sutera 1, Taman Mewah, Layang-Layang, dekat sini Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, tindakan kumpulan remaja berkenaan kira-kira pukul 2.30 petang itu dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang penduduk sebelum ditularkan.
Susulan itu, semalam pasukan polis dari Balai Polis Bemban melakukan tangkapan ke atas lima remaja lelaki berkenaan yang berusia 13 hingga 18 tahun di Kampung Bukit Batu dan Felda Bukit Batu, Kulai.
“Siasatan awal mendapati motosikal berkenaan dicuri untuk kegunaan salah seorang daripada kumpulan remaja itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Semakan rekod menunjukkan semua remaja tersebut tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing didapati negatif dadah.
Kesemua mereka dikenakan tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tujuh tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










