15 maut kereta api bertembung di India

15 maut kereta api bertembung di India

KERETA api Ekspress Kanchenjunga bertembung dengan sebuah kereta api barang, menyebabkan tiga gerabak penumpang tergelincir.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOLKATA: Sekurang-kurangnya 15 orang maut dan 39 yang lain cedera apabila sebuah kereta api penumpang ekspres dan kereta api barang bertembung di negeri Bengal Barat, India, menyebabkan tiga gerabak penumpang tergelincir.

Polis berkata, penyelamat sedang menyelongkar gerabak yang terbalik, kerana bimbang sekiranya terdapat lebih banyak mayat yang terperangkap di bawahnya.

Sekurang-kurangnya 15 mayat dibawa keluar dari gerabak, kata pegawai kanan polis di daerah Darjeeling, Abhishek Roy.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan jumlah penumpang yang berada di dalam gerabak kereta api berkenaan.

Insiden itu adalah nahas baharu yang berlaku dalam rangkaian kereta api India, yang membawa jutaan penumpang setiap hari.

“Kami hanya melihat mayat pemandu dan dua pengawal, mayat mereka dibawa keluar. Beberapa lagi mayat mungkin berada di bawah tapak nahas, tetapi kami belum mengetahui secara pasti,” kata Pasukan Perlindungan Kereta Api, Rajesh Kumar Singh.

Perdana Menteri, Narendra Modi menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban menerusi satu hantaran di media sosial, selain memaklumkan operasi menyelamat masih berjalan.

Sementara itu, Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee dalam hantaran di media sosial turut menyifatkan kemalangan terbabit sebagai insiden ‘tragis’.

“Doktor, ambulans dan pasukan bencana dikejarkan ke tempat kejadian untuk menyelamat mangsa,” katanya.

Banerjee berkata, nahas berlaku di kawasan Phansidewa di daerah Darjeeling, apabila kereta api Ekspress Kanchenjunga dilanggar sebuah kereta api barang.

Menteri kereta api, Ashwini Vaishnaw berkata, mangsa cedera sedang dipindahkan ke hospital.

India mempunyai salah satu rangkaian kereta api terbesar di dunia dan pernah mengalami beberapa kemalangan, paling teruk pada 1981 di negeri Bihar, yang mengorbankan kira-kira 800 nyawa.

Jun tahun lalu, pelanggaran tiga kereta api membunuh hampir 300 orang di negeri Odisha.

Beberapa tahun kebelakangan ini, India melabur sejumlah wang untuk menaik taraf rangkaian dengan stesen moden dan sistem isyarat elektronik.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN