PETALING JAYA: Kewujudan ‘wartawan segera’ yang memberikan pandangan sembrono yang muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan menjadi antara faktor kejatuhan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr. Jeniri Amir berkata, tindakan kerajaan mengambil tindakan terhadap segelintir pihak yang menyentuh soal sensitiviti kaum dan agama (3R) turut mempengaruhi indeks yang merundum berbanding tahun lepas.
Menurut beliau, tanpa tindakan tegas terhadap pihak mencetus dan menggugat keharmonian serta keamanan seolah-olah memberi ‘bola tanggung’ mereka bagi menghina raja-raja, kaum dan agama tanpa batasan.
“Secara amnya semua media arus perdana di Malaysia mempunyai garis panduan penerbitan berita dengan memastikan bukan sahaja laporan itu benar, tetapi ia tidak mengugat kestabilan dan keharmonian negara.
“Malangnya peranan mereka diambil oleh ‘wartawan segera’ yang membuat ulasan di pelbagai platform media sosial sehingga menyentuh soal sensitiviti, apabila tindakan diambil seolah-olah Malaysia sekat kebebasan bersuara. Akhirnya kena tempias adalah pengamal media sebenar,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Jeniri berkata, Malaysia tidak boleh terlalu bergantung kepada indeks kebebasan media tersebut yang membuat penilaian mengikut kriteria tertentu sedangkan negara ini bergantung di bawah undang-undang tertentu termasuk tindakan menyentuh soal 3R.
Katanya, semua masyarakat termasuk media bebas menyuarakan pandangan selagi tidak menyentuh sensitiviti agama dan bangsa.
“Tidak mungkin kebebasan media membenarkan kita melanggar dan menghina agama dan bangsa lain sehingga mencetuskan provokasi dan ketegangan,” katanya.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula melihat kerajaan perlu memberikan ruang kepada rakyat berperanan sebagai semak dan imbang demi membina Malaysia maju dan bukannya menyekat mereka.
Katanya, sebelum ini terdapat beberapa pihak termasuk pempengaruh media sosial telah diberi tekanan dengan akaun media sosial disekat dan diturunkan kandungan media. – UTUSAN










