Waris bantah cadangan mansuh kelas tingkatan 3 hingga 5 SMK Khir Johari - Utusan Malaysia

Waris bantah cadangan mansuh kelas tingkatan 3 hingga 5 SMK Khir Johari

SEBAHAGIAN waris mengadakan bantahan aman terhadap cadangan menutup sepenuhnya tingkatan satu hingga lima di SMK Khir Johari, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Cadangan menjadikan Sekolah Menengah Kebagsaan (SMK) Khir Johari, di sini sebagai kolej tingkatan enam sepenuhnya mendapat tentangan waris yang mempunyai anak bersekolah di situ.

Ia berikutan, mengikut perancangan tiada lagi kelas tingkatan tiga hingga lima akan beroperasi di sekolah itu selepas ini, setelah kelas tingkatan satu dan dua dimansuhkan lebih awal tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Sungai Petani Mempertahankan Arus Perdana Tingkatan 1 hingga 5 SMK Khir Johari, Makbul Ilahi Hashim berkata, Kementerian Pendidikan digesa menimbang semula cadangan itu.

Menurutnya, ramai ibu bapa yang mendiami di sekitar bandar Sungai Petani menghadapi masalah menempatkan anak masing-masing ke sekolah yang didakwa jauh dari rumah mereka.

“Sejak tingkatan satu dan dua dimansuhkan, waris terpaksa berulang alik menghantar anak mereka ke beberapa buah sekolah yang terletak jauh dari kediaman masing-masing hingga mengganggu aktiviti dan pekerjaan harian.

“Kami juga dapati keadaan ini menyebabkan berlaku kepadatan pelajar hingga menjejaskan prestasi dan keselesaan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyertai bantahan aman di sini, hari ini.

Bekas guru SMK Khir Johari, Anwar Abu Bakar, 64, berkata, penutupan aliran perdana kelas tingkatan satu hingga lima yang dijangka dalam masa terdekat itu akan menghapuskan satu-satunya sekolah tertua di daerah ini.

“SMK Khir Johari telah wujud sejak 1912 dan merupakan antara sekolah yang mempunyai fasiliti lengkap di daerah ini kerana mampu menampung seramai 1,500 pelajar.

“Dengan mengambil kira hanya lebih kurang 700 pelajar tingkatan enam sahaja yang akan belajar di sini pasti akan berlaku pembaziran sekali gus menghilangkan nama besar SMK Khir Johari yang dikenali sebagai sebuah sekolah ternama di daerah ini,” katanya.

Bagi Norida Salleh, 58, kesemua waris tidak menolak cadangan menjadikan sekolah itu sebagai kolej tingkatan enam kerana secara tidak langsung akan memacu lagi prestasi pendidikan di daerah itu.

“Tetapi yang mendukacitakan adalah pemansuhan kelas aliran perdana yang membuatkan kami tidak bersetuju kerana tiada perbincangan dibuat dengan waris sebelum ini.

“Kami berharap pihak terlibat akan membuka semula pendaftaran tingkatan satu dan dua untuk sesi pembelajaran 2025 nanti selain mengekalkan kelas tingkatan tiga hingga lima seperti biasa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×