PETALING JAYA: Warga Palestin merayu tentera Islam terutama di sekeliling Semenanjung Gaza bertindak bagi menghentikan penindasan rejim Zionis.
Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia, Mohd. Johari Ismail berkata, sokongan secara moral sudah tidak memberi apa-apa makna kepada rakyat di sana.
Menurutnya, ini kerana mereka sudah terlampau menderita selepas hampir setiap hari diserang rejim Zionis sejak tujuh bulan lalu.
Berita berkaitan:
“Serangan Israel ketika ini tanpa henti. Setiap hari ada tembakan di Gaza. Apabila dikongsi video yang membakar semangat, sahabat berada di Gaza anggap ia tidak memberi apa-apa makna.
“Mereka beritahu sebenarnya apa yang diperlukan adalah tindakan daripada tentera Islam di sekeliling Gaza. Setakat berceramah, minta sabar tetapi yang menanggungnya mereka, itu yang disampaikan oleh sahabat kita di sana,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, kira-kira 350,000 pelarian di Gaza ‘dihalau’ tentera Israel untuk meninggalkan Rafah susulan tindakan rejim Zionis itu meningkatkan operasi ketenteraannya di timur bandar yang menjadi ‘kubu terakhir’ rakyat Palestin.
Gaza terus menerus dibedil dari pelbagai arah oleh rejim Zionis pada hari ke-221 serangan Israel terhadap Palestin sejak 7 Oktober lepas.
Dalam pada itu, Mohd. Johari berkata, bantuan terutamanya bahan mentah dan makanan kepada penduduk Palestin masih lagi berjalan dan pihaknya sedang mengusahakan untuk menghantarnya dalam skala lebih besar.
“Kita cuba berunding dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Jordan yang boleh menguruskan penghantaran melalui udara.
“Kita ke arah itu sebab sudah tidak ada cara lain yang boleh untuk menyampaikan bantuan dengan lebih luas,” katanya. – UTUSAN











