KUALA KRAI: Seorang warga emas ditemukan dengan kesan gigitan bintang buas selepas dikhuatiri hilang semasa keluar dari rumah untuk ke kebun di Pasir Layang, Kampung Bunut Saih di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, mayat mangsa ditemukan di dalam kebun ladang kelapa sawit kira-kira pukul 6.15 petang semalam.
Menurutnya, mayat mangsa ditemui dalam keadaan tidak berpakaian dan didapati sudah meninggal dunia lebih kurang lima hari lalu.
“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati mangsa merupakan seorang lelaki melayu yang berusia 70 tahun.
“Terdapat kesan gigitan di bahagian tangan kiri dan kanan mangsa dipercayai kesan gigitan binatang buas,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mazlan memberitahu, siasatan lanjut juga mendapati mangsa merupakan orang yang dikhuatiri hilang selepas keluar rumah kira-kira pukul 1.40 petang pada Selasa lalu bertujuan untuk ke kebunnya yang terletak di Kampung Bunut Saih.
Katanya, menurut waris, mangsa mempunyai masalah kesihatan iaitu kencing manis, masalah jantung dan penyakit alzheimer yang seringkali lupa tentang perkara yang dilakukan.
“Mayat mangsa telah di bawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk bedah siasat dan pakar perubatan forensik telah mengesahkan punca kematian tidak dapat dikenalpasti memandangkan keadaan mayat yang telah reput.
“Hasil laporan turut mendapati tiada unsur-unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,”katanya.-UTUSAN










