Warga asing ditahan bersama 9kg heroin

Warga asing ditahan bersama 9kg heroin

MOHD. YUSRI Hassan Basri (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Langkap Isnin lalu pada sidang akhbar di IPK Perak di Ipoh. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis menahan seorang lelaki Indonesia berusia 40 tahun bersama heroin seberat 9.01 kilogram bernilai RM110,000 di sebuah rumah di Langkap, Teluk Intan, 9.30 malam Isnin lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

Beliau berkata, pemeriksaan dalam rumah telah menemukan sebuah beg beroda berisi 20 peket plastik lutsinar disyaki mengandungi heroin seberat 9,010 gram.

“Berdasarkan siasatan, suspek masuk ke negara ini tanpa sebarang dokumen sah sejak Mac lalu dan aktif mengedar dadah dalam tempoh sama.

“Suspek yang tidak mempunyai pekerjaan dipercayai mendapat bekalan dadah dari negeri jiran di sebelah selatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, semalam.

Menurut Mohd. Yusri, dadah yang dirampas disyaki untuk pasaran tempatan dan boleh menampung penggunaan 11,000 penagih.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati, lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×