SEREMBAN: Seorang wanita yang menunggang motosikal bersama dua anaknya terkejut diragut dalam kejadian di Taman Bandar Senawang, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Hatta Che Din berkata, pihaknya telah terkesan satu video klip berdurasi 16 saat telah tular di media sosial memaparkan satu kejadian ragut melibatkan mangsa iaitu seorang perempuan.
Menurutnya, suspek seorang lelaki yang juga menunggang sebuah motosikal telah meragut gelang tangan emas mangsa.
“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam ketika mangsa berusia 33 tahun bersama dua orang anak menaiki motosikal di simpang jalan Dareca 2, Taman Bandar Senawang.
“Tiba-tiba datang seorang individu menaiki motosikal jenis 125Z berwarna biru telah meragut gelang tangan mangsa dan kemudiannya melarikan diri,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Mohd Hatta lagi, mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis kini sedang mengesan suspek bagi siasatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Faizal Mohd. Zaini di talian 013-3611854 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222.-UTUSAN.










