‘Untuk apa kembali sokong parti rosak, ditolak rakyat’ - Utusan Malaysia

‘Untuk apa kembali sokong parti rosak, ditolak rakyat’

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas pemimpin UMNO mempersoalkan kewajaran kembali menyokong parti yang dianggapnya sudah rosak dan ditolak rakyat.

Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, bekas ahli parti itu mempunyai pelbagai pilihan lain jika mahu terus berada dalam politik negara.

“Pokok pangkalnya kita perlu bertanya diri untuk apa kita mendukung atau menyokong sesuatu parti.

“Apa lagi jika parti itu sudah jelas rosak angkara pemimpinnya,tidak relevan dan ditolak rakyat secara total dan nyata,” katanya dalam kenyataan semalam.

Media melaporkan UMNO sedia menimbang menerima semula pemimpin dan ahlinya yang disingkirkan ketika proses pemutihan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, peluang kedua itu dibuat selepas terdapat ada yang disingkirkan sebelum ini masih menunjukkan kesetiaan kepada UMNO dan berminat menyertai semula parti terbesar kaum Melayu itu.

Annuar yang juga Presiden Muafakat Nasional (MN) berkata, deria politik UMNO disifatkan telah dimandulkan perlahan-lahan selepas kekal membisu dalam isu di negara ini.

Katanya, ia tidak menghairankan kerana parti itu hanya menjadi alat dan perisai bagi pemimpinnya, tiada lagi demokrasi dalam organisasinya serta membelakangkan asas dan dasar penubuhannya.

“Apabila Universiti Teknologi Mara (UiTM) digelar apartheid mereka diam. Ada ‘titah’ pada kerajaan mereka sandiwarakan. cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dinaikkan dan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dulu di perjuang mereka diam.

“Tarif air, cukai pintu, bil elektrik membebankan mereka buat tak faham. Harga barang semakin mahal mereka pura-pura tak nampak. Jemaah haji terbeban mereka tak peduli. Nilai ringgit merudum mereka boleh senyum. Hatta aset strategik negara di jual kepada entiti yang di protes satu dunia pun mereka kekal membisu,” katanya.

Katanya, beliau tidak hairan ratusan ribu ahli memilih untuk tidak mematuhi kepimpinan, malah tidak takut memberi pelbagai isyarat dalam memilih haluan sendiri.

“Yang pasti,ramai yang pergi tidak akan kembali lagi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×