Tidak ikut ketinggian, laluan ditetapkan

Tidak ikut ketinggian, laluan ditetapkan

ABDUL Rahman Ayob menunjukkan rakaman video nahas helikopter TLDM pada 23April lalu, dalam sidang akhbar khas di Kuala Lumpur, semalam. – utusan/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Siasatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mendapati faktor utama nahas udara membabitkan dua pesawatnya di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, 23 April lalu berpunca daripada helikopter AS555 FN Fennec tidak berada pada ketinggian dan laluan ditetapkan.

Pada masa sama, pesawat tersebut juga didapati memasuki laluan sebuah lagi pesawat Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, ketiadaan kotak hitam di dalam helikopter Fennec menyukarkan lembaga siasatan untuk menentukan punca sebenar nahas membabitkan kedua-dua pesawat.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, laporan akhir dikeluarkan tidak mengaitkan sebarang kecuaian manusia yang menyebabkan nahas membabitkan 10 kru TLDM tersebut.

“Laporan akhir dikeluarkan tidak mengaitkan sebarang ke­cuaian manusia yang menyebabkan nahas membabitkan 10 kru TLDM tersebut. Ini kerana pesawat Fennec ditentukan tidak mengalami sebarang masalah teknikal berdasarkan analisis visual dan bunyi serta dokumentasi.

“Kerja-kerja selenggaraan kedua-dua pesawat disahkan dilaksanakan mengikut prosedur dan rutin ditetapkan oleh pihak pengeluar peralatan asal (OEM),” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata, lembaga siasatan juga membuat kesimpulan terdapat faktor sekunder berlaku dalam nahas tersebut iaitu perhatian bersalur (channelized attention) oleh kru pesawat AW139 yang tertumpu ke arah penukaran haluan telah mengehadkan reaksi mengelak pelanggaran.

“Laporan akhir ini adalah selari dengan laporan awal dikeluarkan sebelum ini. Ia juga akan dihantar ke Lembaga Layak Terbang Negara (SAA) untuk rekod,” katanya.

Beliau berkata, Laporan Analisis Kotak Hitam pesawat AW139 digunakan untuk membantu siasatan manakala bagi pesawat Fennec, pembuktian profil penerbangan adalah melalui simulasi penerbangan menggunakan pesawat sebenar.

“Kerjasama, kepakaran dan pandangan daripada pihak OEM iaitu Leonardo Helicopter dan Airbus Helicopter telah dirujuk bagi membantu siasatan.

“Airbus Helicopter mengesahkan tiada peralatan yang mempunyai non volatile memory (NVM) di pesawat Fennec yang dapat membantu siasatan,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, laporan akhir dikeluarkan lembaga siasatan merumuskan laporan autopsi mengesahkan tiada isu atau unsur-unsur keletihan (hypoglycemia) terhadap semua kru udara serta tiada penggunaan bahan terlarang.

Selain itu, katanya, tiada unsur kesihatan mental direkodkan atau dikenal pasti.

Beliau berkata, sampel mi­nyak, pelincir dan bahan api te­lah diperiksa dan disahkan normal oleh Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).

Jelasnya, buat masa ini, bangkai kedua-dua pesawat masih berada di Markas TLDM bagi sebarang semakan lanjut jika diperlukan.

Dalam tragedi pada 9.32 pagi itu, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri daripada tujuh kru HOM-AW139 dan tiga kru Fennec terkorban, selepas helikopter dinaiki terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90.

Tujuh mangsa yang menaiki pesawat HOM-AW139 adalah Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli; Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; Pegawai Waran II TLR Muhammad Faisol Tamadun; Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd. Saedy; Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar dan Laskar Kelas I JJM Joanna Felicia anak Rohna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN