Tidak boleh terbit filem pertikai agama, raja, bahasa

Tidak boleh terbit filem pertikai agama, raja, bahasa

SAIFUDDIN Nasution Ismail ketika melancarkan GPPF di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Produser filem tidak boleh menerbitkan filem yang mempertikaikan agama Islam sebagai agama Persekutuan, peranan institusi raja dan bahasa.

Perkara itu terkandung dalam Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF) baharu untuk penggiat seni dan pembuat filem yang dilancarkan semalam.

Pelancaran GPPF juga bertujuan membantu para penggiat seni dan pembuat filem tempatan untuk menghasilkan karya lebih berkualiti tanpa membataskan kemahiran dan kreativiti mereka.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, GPPF melalui penambahbaikan daripada garis panduan terdahulu dengan menggariskan tiga teras utama iaitu keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan serta moral dan sosiobudaya.

Menurutnya, garis panduan baharu itu bagi menggantikan garis panduan lama pada 2010 untuk memastikan perkara disepakati dalam Perlembagaan meliputi soal agama Islam sebagai agama Persekutuan, peranan institusi raja dan bahasa tidak dipertikai dalam kandungan filem.

“Tujuan garis panduan baharu ini dibuat supaya ia lebih jelas dari aspek keseragaman dan tidak boleh ada dwistandard.

“Hasrat sebenar LPF adalah kita hendak meminimumkan arahan pengubahan (editing) agar tidak menjejaskan nilai estetika sesebuah karya, itu niat asalnya,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran GPPF di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, garis panduan yang baharu ini bukanlah dihasilkan mengikut acuan dan kehendak Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Lembaga Penapis Filem (LPF) semata-mata, sebaliknya dihasilkan de­ngan mengambil kira pandangan pemegang taruh.

Jelasnya, banyak syor dan cadangan diperoleh melalui pelbagai sesi libat urus yang diadakan bersama pemegang taruh industri perfileman tempatan yang terdiri daripada karyawan filem tempatan, penerbit, pengarah, pengedar filem, stesen televisyen, persatuan filem, syarikat pawagam, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi-agensi kerajaan yang berkaitan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Saifuddin berkata, beliau memahami bahawa industri perfileman dan penyiaran mahu LPF memberikan lebih kelonggaran dalam setiap karya yang dihasilkan, kerana mereka mempunyai tanggapan bahawa penapisan yang dilaksanakan terlalu ketat.

Selain itu, katanya, LPF sering dianggap sebagai penyekat kreativiti penggiat filem tempatan yang secara tidak langsung menafikan hak kebebasan penonton untuk menikmati sesebuah filem kerana arahan-arahan pengubahan yang ditetapkan dirasakan menjejaskan jalan cerita filem tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN