Tiada bukti wujud niat bersama mencederakan Zulfarhan - Peguam - Utusan Malaysia

Tiada bukti wujud niat bersama mencederakan Zulfarhan – Peguam

SEBAHAGIAN ahli keluarga bekas penuntut UPNM hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi mengikuti rayuan berkaitan kes kematian Pegawai Kadet Laut universiti itu, Zulfarhan Osman Zulkarnain. UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu, tiada bukti kukuh yang mengaitkan penglibatan 12 bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mencederakan Pegawai Kadet Laut universiti itu, Zulfarhan Osman Zulkarnain sehingga maut, tujuh tahun lalu.

Pasukan pembelaan yang mewakili perayu-perayu menghujahkan, pihak pendakwaan gagal membuktikan niat bersama yang menjurus kepada bukti bahawa mereka merupakan rakan sejenayah dan terlibat memukul mangsa.

Peguam A.G. Kalidas berhujah, sukar untuk membuktikan bahawa kesemuanya mengambil bahagian memukul Zulfarhan kerana ketika kejadian terdapat hampir 50 penuntut mendiami asrama penginapan tempat kejadian berlaku.

Hujah beliau, mahkamah harus memberi pertimbangan dan menentukan sama ada mereka benar-benar rakan sejenayah kerana sejumlah 32 orang daripadanya ditahan dan direman yang mana sebahagian daripada mereka menjadi saksi pendakwaan.

“Dalam kes tersebut, sukar untuk memastikan individu mana yang mengambil bahagian dan mana yang tidak terlibat.

“Perlu dipertimbangkan bahawa kejadian berlaku dalam kampus universiti, saya bukan bermaksud bahawa pemerasan dan buli harus dibenarkan, namun wujud kecenderungan terhadap ikatan persahabatan yang kuat, sesetengahnya akan dipulau jika tidak mengikut rentak.

“Rakan-rakan akan melakukan pelbagai perkara dan jika kamu tidak mengendahkannya, kamu akan kehilangan sebuah persahabatan,” ujar beliau yang mewakili tiga bekas penuntut tersebut.

Menurut Kalidas, hujahan itu dikukuhkan lagi dengan keterangan bahawa kasut sukan yang didakwa digunakan untuk mencederakan Zulfarhan, tidak ditemukan manakala mangsa juga tidak mengadu atau menunjukkan dia dalam kesakitan ketika itu.

“Perkara-perkara ini tidak dipertimbangkan oleh hakim Mahkamah Tinggi ketika menyediakan alasan penghakimannya sewaktu memerintahkan mereka membela diri terhadap pertuduhan,” hujah beliau.

Mahkamah sedang mendengar rayuan silang 12 bekas penuntut UPNM yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi mensabit dan menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap mereka kerana mencederakan Zulfarhan.

Dua belas penuntut itu ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani dan Mohamad Syazwan Musa.

Perbuatan mencederakan Zulfarhan dilakukan di dalam sebuah bilik blok penginapan Asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara pukul 2.30 pagi dan pukul 5.30 pagi 21 Mei 2017.

Ketika mahkamah bersidang pada sebelah pagi, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail membatalkan rayuan lima bekas penuntut UPNM terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun kerana mencederakan Zulfarhan.

Beliau yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin memutuskan demikian secara sebulat suara selepas kelima-limanya menarik balik rayuan silang masing-masing.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Abdoul Hakeem Mohd Ali. Kesemuanya kini berusia 28 tahun.

Prosiding rayuan yang ditetapkan selama tiga hari sehingga Khamis ini turut dijadualkan mendengar rayuan pendakwa raya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas enam bekas penuntut UPNM kerana menyebabkan kematian Zulfarhan.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali.

Kesalahan menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat dilakukan di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pendengaran rayuan bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN