KOTA KINABALU: Setiap kali darah yang diperlukan anaknya tiada bekalan maka, setiap kali itu jugalah anaknya yang menghidap penyakit talasemia tidak dapat hadir ke sekolah kerana keadaan badan yang terlalu lemah.
Demikian kata Norrafizah Aliamat, 33, mengenai keadaan anaknya yang merupakan pesakit talasemia sejak berusia setahun lapan bulan.
Dia berkata, anaknya Nur Alyea Summaya Welfredolin, 13, terpaksa mengambil cuti sendiri sekiranya tidak dapat melakukan transfusi darah kerana tiada bekalan darah yang sesuai dengan darah anaknya.
“Anak saya memerlukan darah jenis O positif Jka-Fyb-K MN S-. Darah jenis ini sangat jarang dijumpai jadi, apabila tiada bekalan maka, proses transfusi darah tidak dapat dilakukan.
“Darah O positif jenis ini memang sukar diperoleh sejak dua tahun kebelakangan ini. Dulu senang juga dapat bekalan daripada tabung darah di Hospital Papar tapi, sekarang memang sukar dapat bekalan yang sama.
“Saya tidak pasti sama ada kesedaran orang ramai tentang menderma darah semakin kurang atau memang darah yang diperlukan Summaya sukar didapati,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas Norrafizah, apabila darah Summaya berkurang dan tiada darah yang sesuai dengannya maka, mereka mempunyai dua pilihan iaitu datang ke unit kecemasan agar doktor boleh pantau keadaan Summaya atau berehat di rumah bagi menunggu panggilan sehingga ada darah yang sesuai.
Jadi sepanjang proses menunggu, Summaya memang akan berada dalam keadaan yang lemah dan tidak dapat ke sekolah. Biasanya apabila pesakit talasemia mengalami tekanan darah rendah mereka tiada selera makan dan minum jadi, anaknya akan tidur sahaja.
Selain anaknya, Norrafizah turut mengalami penyakit buah pinggang dan perlu menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali dalam tempoh seminggu.










