Tangguh belajar jaga ibu hidap kanser

Tangguh belajar jaga ibu hidap kanser

AKMAL FIKRI Jaafar menyuap makanan kepada ibunya, Monisa Parmin yang terlantar akibat kanser paru-paru di rumah sewa mereka di Kampung Pasir, Tampoi, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang anak berkorban dengan mengambil cuti belajar bagi menjaga ibunya yang menghidap kanser paru-paru tahap empat.

Akmal Fikri Jaafar, 16, pelajar tingkatan empat di Sekolah Maahad Tahfiz Sains Al-Insirah di sini, menangguhkan persekolahan untuk menjaga ibunya, Monisa Parmin, 49, yang sakit sejak awal tahun ini.

“Saya tak sanggup melihat ibu terlantar sakit keseorangan di rumah. Saya perlu menggalas tanggungjawab sebagai seorang anak menjaga ibu.

“Ibu dikesan sakit sejak awal Januari lalu selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) kerana sering mengadu sesak nafas. Doktor kata, ibu menghidap kanser payu dara tahap empat,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Anak bongsu daripada dua beradik itu memandikan ibunya dengan mengangkat ke bilik air dan menukar lampin pakai buang serta memasak.

Akmal Fikri berkata, ayah dan ibunya telah berpisah sejak 2009 ketika dia masih kecil dan sehingga sekarang tidak pernah berjumpa atau menatap wajah ayahnya.

“Saya pun tak tahu di mana ayah berada, tapi demi ibu saya sanggup berkorban hingga akhir hayat walaupun tiada ayah di sisi,” katanya.

Abangnya, Amirul, 18, pula terpaksa bekerja di sebuah kilang membuat tauhu di Tampoi dan menyewa di tempat kerja sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, namun akan pulang ke rumah setiap minggu bagi membeli keperluan harian mereka.

Ibunya bergantung kepada mesin oksigen sejak dua bulan lalu dengan bayaran bulanan RM500 ditanggung oleh guru sekolahnya.

Akmal Fikri mengakui amat terharu dan berterima kasih ke­rana seorang ustaz di sekolah­nya, Mohamad Halimi Kolan kerana sanggup membayar sewa mesin oksigen serta sewa rumah sebanyak RM450.

“Hanya Allah yang dapat membalas jasa Ustaz Mohamad Halimi yang tak putus-putus membantu terutama masalah kewangan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) ibunya bernombor 0115341000038483. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×