PETALING JAYA: Kerajaan disaran memperkenalkan Elaun Sara Hidup (COLA) kepada pekerja sektor swasta bagi melindungi hak dan kebajikan mereka.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, pihaknya menyuarakan kebimbangan tentang kebajikan pekerja swasta kepada kerajaan memandangkan kos sara hidup yang tinggi ketika ini.
Kata beliau, cadangan gaji minimum RM2,600 tetap relevan berdasarkan kajian tetapi keperluan dan kos sara hidup yang berubah dari semasa ke semasa menjadi faktor utama untuk menilai semula cadangan itu.
“Kerajaan perlu segera memperkenal COLA kepada pekerja swasta bagi mengimbangi kos sara hidup yang secara tidak langsung dapat memberi kelegaan kepada golongan pekerja yang terhimpit dengan kos sara hidup tinggi.
“Pihak kami akan terus mendorong kerajaan untuk meningkatkan kebajikan pekerja swasta dalam menekankan pentingnya gaji minimum yang mencukupi untuk menampung kos sara hidup serta meningkatkan kesejahteraan pekerja,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, gaji pekerja sektor swasta di negara ini perlu dinaikkan sekurang-kurangnya 10 peratus.
Setiausaha Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma), Kelvin Cheong Sook berkata, Malaysia adalah antara yang lambat menerima kenaikan gaji berbanding negara-negara lain.
Mohd. Effendy berkata, pelaksanaan perintah gaji minimum hendaklah dilaksanakan secara berterusan dan dikuatkuasakan sepenuhnya.
“Seperti kita maklum, gaji minimum akan dikaji setiap dua tahun sekali dan sepatutnya tahun ini kajian tersebut perlu dibuat bagi mengimbangan keperluan dan kos semasa.
“Ini secara tidak langsung dapat memberikan kelegaan kepada pekerja swasta yang terhimpit dengan kos sara hidup yang tinggi,” katanya. – UTUSAN










