PETALING JAYA : Polis mengesahkan suspek pecah rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee, telah menggunakan kereta mewah Toyota Estima ketika melakukan jenayah itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, kenderaan yang dinaiki suspek itu bagaimanapun menggunakan nombor plat palsu.
Kata beliau, pihaknya kini giat mengesan kesemua suspek terlibat dalam jenayah itu.
“Siasatan masih berjalan dan keterangan tujuh individu telah diambil setakat ini,” katanya di sini.
Terdahulu, sekurang-kurangnya empat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai di sekitar rumah Khuzaimi tular di media sosial seperti Whatsapp dan Telegram.
Menerusi video berkenaan menunjukkan individu yang memecah masuk rumah pertahanan berusia 30 tahun itu dipercayai menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima.
Malah, dalam video itu juga memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal dipercayai milik Khuzaimi selepas memecah masuk kediaman pemain itu.
Malah, terdapat juga rakaman menunjukkan MPV itu masuk dan keluar melalui pondok pengawal keselamatan di kediaman pemain itu.
Minggu lalu, kediaman Khuzaimi dilaporkan dipecah masuk ketika beliau keluar menjalani latihan di Pusat Latihan Selangor di Shah Alam.
Menurut laporan polis yang beliau kongsi di Instagram, Khuzaimi kehilangan sebuah motosikal, empat beg pelbagai jenama dan pasport antarabangsanya.









