BALIK PULAU : Polis kini sedang menggiatkan usaha untuk memburu seorang lelaki yang dipercayai terlibat dengan perbuatan mencuri pakaian dalam wanita di Titi Teras, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, terdahulu, pihaknya menerima aduan daripada seorang wanita berhubung kejadian tersebut pada hari yang sama.
“Kejadian berlaku di sebuah rumah di Solok Titi Teras 1, Taman Titi Height dan berdasarkan laporan, wanita berkenaan menyedari pakaian dalam kepunyaannya yang disidai di ampaian di rumahnya itu telah hilang
“Sehubungan itu juga, polis memohon orang awam yang mempunyai maklumat tentang kes ini supaya tampil di mana-mana balai polis untuk menyalurkan maklumat yang berkaitan,” katanya di sini, semalam.
Sebelum ini, tular di media sosial satu rakaman video memaparkan seorang lelaki yang menunggang motosikal telah mencuri pakaian dalam wanita yang disidai di ampaian.
Menurut Kamarul Rizal, wanita tersebut bagaimanapun menyedari kejadian itu selepas memeriksa rakaman kamera litar tertutup (cctv) di rumahnya.
“Di dalam rakaman CCTV tersebut, kelihatan seorang lelaki tidak dikenali telah mengambil pakaian dalam milik wanita tersebut di ampaian.
“Suspek kemudiannya beredar dari rumah wanita berkenaan dengan menunggang motosikal,” katanya yang memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.-UTUSAN










