Sungai Timun disasar jadi hab pengeluaran udang galah menjelang 2026 - Utusan Malaysia

Sungai Timun disasar jadi hab pengeluaran udang galah menjelang 2026

JALALUDDIN Alias melepaskan benih udang galah sempena Program Sopit Biru Sungai Timun 2024 di Jeti Pengkalan Sungai Timun, Rembau hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Kawasan sepanjang Sungai Timun di sini yang terkenal sebagai lokasi pembiakan udang galah di negeri ini disasarkan untuk menjadi hab pengeluaran sumber perikanan bernilai tinggi itu menjelang tahun 2026.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, untuk tujuan itu beberapa tindakan perlu diambil khususnya oleh pihak Jabatan Perikanan Negeri Sembilan dalam aspek pelepasan benih udang galah secara berkala.

Jelas Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri itu, selepas ini Sungai Timun bukan hanya menjadi lokasi popular dalam kalangan pemancing ‘sepit biru’ itu malahan juga tumpuan kepada orang ramai mendapatkan hasilnya tanpa terputus bekalan.

“Mengambil contoh di Thailand, udang galah mereka begitu berkualiti dan pengeluarannya mengikut jadual dan tidak pernah putus, tidak mustahil untuk Negeri Sembilan termasuk di Sungai Timun menuju ke arah itu.

“Jabatan Perikanan kena pastikan benih udang galah yang dilepaskan mengikut jadual tertentu, jika seperti hari ini sebanyak 64,000 benih udang galah dilepaskan namun dalam tempoh tujuh bulan, sekitar 60 hingga 70 peratus benih itu akan terus membiak dan berada di kawasan sekitar.

“Apabila kita tahu tujuh bulan akan boleh mendapat hasilnya, dalam tempoh bulan dari sekarang, kita mesti lepaskan lagi benih udang galah ini, seterusnya setiap tiga bulan bagi memastikan pengeluaran udang galah di sepanjang Sungai Timun tidak akan putus. Ini menjadikan kawasan ini sebagai lokaliti utama udang galah yang boleh diperoleh pengunjung setiap masa termasuk oleh pengunjung luar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melepaskan benih udang galah sempena Program Sopit Biru Sungai Timun 2024 di Jeti Pengkalan Sungai Timun di sini hari ini.

Sementara itu, Jalaluddin memberitahu acara tahun ini merupakan tahun kedua dianjurkan selepas julung kali diadakan tahun lalu yang turut bertujuan menjadikan kawasan Sungai Timun sebagai salah satu lokasi pelancongan di negeri ini.

“Tahun ini seramai 120 orang pemancing dari dalam dan luar negeri telah mengambil bahagian, saya harap program ini dapat terus menjadi acara tahunan. Acara ini amat menarik kerana tidak semua tempat memiliki udang galah ini justeru potensi yang ada perlu digunakan sebaik mungkin bagi menarik kehadiran penggemar udang galah dari seluruh negara.

“Program ini selain memberi pulangan kepada negeri ia juga boleh membantu meningkatkan ekonomi kepada masyarakat tempatan dan memberikan pendapatan sampingan kepada mereka,” katanya yang turut berharap penduduk dapat bersama-sama menjaga sungai tersebut supaya tidak tercemar dan boleh menggagalkan kesemua rancangan yang mahu dibuat.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN