SPM 2023: 187 dapat semua A di Putrajaya - Utusan Malaysia

SPM 2023: 187 dapat semua A di Putrajaya

REKOD pencapaian SPM 2023. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 187 daripada keseluruhan 1,843 calon Sijil Pelajaran Malaysia 2023 (SPM 2023) berjaya memperoleh keputusan cemerlang semua A.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Ezaiddin Hussain berkata, jumlah itu meningkat berbanding 138 calon pada SPM 2022 yang lalu.

Beliau berkata, bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang menunjukkan peningkatan sebanyak 49 calon iaitu 2.07 peratus.

“Bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred B dan C dalam semua mata pelajaran pula adalah seramai 611 calon berbanding 552 calon pada tahun 2022.

“Manakala seramai 658 calon telah memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E bagi semua mata pelajaran yang diduduki pada tahun 2023 berbanding 643 calon pada tahun 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, secara keseluruhan, seramai 1,810 calon atau 98.85 peratus layak menerima sijil SPM pada tahun 2023 berbanding 1,683 calon pada tahun 2022.

Ezaiddin berkata, seramai 1,843 calon telah mendaftar peperiksaan SPM 2023 dan bilangan calon menunjukkan peningkatan sebanyak 8.03 peratus atau 137 calon
berbanding 1,706 calon pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, daripada 1,843 calon tersebut, seramai 1831 calon telah hadir dan menduduki sekurang-kurangnya satu mata pelajaran manakala, seramai 12 calon tidak hadir semua mata pelajaran.

“Saya dengan ini ingin memaklumkan bahawa pada keseluruhannya pencapaian calon peperiksaan SPM 2023 di Putrajaya adalah meningkat berdasarkan indeks Gred Purata National (GPN) berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Jelasnya lagi, seramai 14 orang Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) telah menduduki peperiksaan SPM Tahun 2023 dan 12 daripadanya layak memperoleh sijil berbanding lapan calon pada tahun 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN