JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yakin insiden yang menimpa pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim tidak akan menjejaskan fokus pasukan itu untuk menjulang Piala Sumbangsih menentang Selangor, Jumaat ini.
Menurut beliau, pihaknya yakin dengan kewibawaan dan kepimpinan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang juga merupakan pemilik JDT.
“Kita memang berdoa perkara seperti ini tidak berlaku, tetapi apabila ia sudah terjadi kita perlu teruskan dan pastikan fokus kekal untuk menang. Insya Allah kita akan dapat kejayaan dalam perlawanan itu.
“Saya yakin dengan kepimpinan Pemangku Sultan Johor untuk kemudi JDT ke tangga kejayaan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-39 Persatuan Nelayan Negeri Johor, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung laporan polis dibuat Safiq Rahim memaklumkan dirinya diserang dua individu tidak dikenali selepas pulang dari latihan di kawasan pusat latihan JDT.
Cermin belakang kenderaannya dipecahkan menggunakan tukul besi oleh dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal, pada pukul 10.05 malam, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip.
Sementara itu, Onn Hafiz menegaskan pihaknya mempunyai keyakinan penuh terhadap kemampuan pihak Polis Diraja Malaysia dalam menyiasat kes berkenaan dan memastikan keselamatan perlawanan tersebut.
“Memang sedih dan terkejut dengan apa yang berlaku namun kita yakin dengan kemampuan pihak polis yang akan siasat perkara tersebut. Jadi kita serahkan sepenuhnya kepada mereka untuk membuat siasatan,” jelasnya lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, pihaknya akan melakukan siasatan menyeluruh sebelum membuat sebarang kenyataan lanjut dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan.
Sebelum Safiq, pemain kebangsaan negara yang turut diserang individu tidak bertanggungjawab adalah Faisal Halim yang disimbah asid dan Akhyar Rashid yang disamun dan dicederakan.










