ISKANDAR PUTERI: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan melakukan pemantauan secara menyeluruh tentang sebarang usaha penyebaran ajaran sesat di Ulu Tiram, di sini ekoran tragedi berdarah di balai polis kawasan itu, kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, perkara ini perlu dilakukan bagi mengekang penularan ajaran sesat tersebut, sekali gus meredakan kebimbangan awam.
Katanya, penyebaran ajaran yang tidak berlandaskan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dikhuatiri berisiko memesongkan akidah selain berisiko mengancam keselamatan.
“Pendekatan itu akan diambil susulan laporan yang diterima daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai kejadian tersebut. Kita faham kerisauan masyarakat. Oleh itu, kita akan bagi tumpuan lebih bagi memantau penyebaran ajaran sesat di Ulu Tiram, itu tidak bermakna pemantauan di daerah lain dikurangkan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.
Kelmarin, dua anggota polis, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, kira-kira pukul 2.30 pagi.
Ahmad Azza Fahmi meninggal dunia akibat ditetak pada bahagian belakang leher dan kepala, manakala Muhamad Syafiq maut akibat ditembak pada bahagian perut dan lengan serta seorang lagi anggota, Koperal Mohd. Hasif Roslan mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Mengulas lanjut, Mohd. Fared memberitahu, JAINJ akan membuat semakan dari semasa ke semasa serta melakukan penyamaran dengan menyertai pertubuhan tertentu bagi mengenal pasti penyebaran ajaran sesat tersebut.
“Kita juga menggerakkan ketua masyarakat dan pegawai masjid setempat mendekati keluarga yang memencilkan diri di mana-mana kawasan, kita kena ambil tahu dan tidak boleh biarkan mereka bersendirian,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang awam supaya membuat laporan kepada JAINJ atau Pejabat Kadi sekiranya menghidu pergerakan penyebaran ajaran Islam menyeleweng di kawasan masing-masing.
“Kita minta orang awam jangan risau dan terus mengadukan sebarang kemusykilan ajaran agama yang timbul kepada JAINJ atau Pejabat Kadi. Kita memang sudah ada jawatankuasa khas bagi mengekang penyebaran ajaran sesat yang akan menyiasat dan mengambil berat setiap isu ajaran menyeleweng yang diadukan,” katanya. – UTUSAN










