HULU SELANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao mahu mendahulukan penyelesaian masalah tempatan seperti jalan gelap dan rosak serta aduan-aduan lain selepas dipilih sebagai wakil rakyat kawasan itu, semalam.
Menurutnya, aduan-aduan tersebut diterima sepanjang berkempen selama dua minggu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan dan akan diberi keutamaan sebelum melaksanakan manifestonya.
“Dalam manifesto, saya akan mendahulukan masalah tempatan yang mana perkara kecil walaupun ada aduan yang mungkin bukan projek besar dan sebagainya, tetapi pada saya sekecil-kecil aduan pastinya mempengaruhi kehidupan penduduk setempat.
“Jadi saya akan mengutamakan penyelesaian masalah tempatan seperti lampu jalan raya, longkang. Saya akan bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan juga kerajaan negeri untuk selesaikan masalah tempatan, bagi saya itu masalah yang amat terdesak,” katanya ketika ditemui, semalam.
Beliau ditemui ketika mengedarkan 400 kuntum bunga kepada penduduk di sekitar Rasa dan Pasar Awam Kuala Kubu Baharu sempena sambutan Hari Ibu dan penghargaan kepada pengundi yang memilihnya sebagai wakil rakyat baharu.
Tambahnya, antara langkah jangka panjang yang menjadi fokus utama beliau adalah untuk menyelesaikan masalah liputan dan capaian internet selain membaiki mutu perkhidmatan pengangkutan awam serta menyediakan pengangkutan untuk pelancongan.
“Cadangan saya adalah untuk mewujudkan bas pelancongan pada hujung minggu untuk membawa pelancong mengikuti Jejak-Jejak Pelancongan Kuala Kubu Baharu,” ujarnya.
Terdahulu, Sock Tao daripada Pakatan Harapan (PH) yang mewakili Kerajaan Perpaduan diumum menang PRK DUN Kuala Kubu Baharu dengan majoriti 3,869 apabila memperoleh 14,000 undi.
Beliau menewaskan calon PN, Khairul Azhari Saut yang memperoleh 10,151 undi, calon Bebas, Nyau Ke Xin dan Hafizah Zainudin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dalam pertembungan empat penjuru.
Dalam pada itu, Sock Tao yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, memberitahu selain isu setempat, beliau juga mahu memastikan projek-projek pembangunan pelbagai skala di kawasannya siap mengikut jadual ditetapkan.
“Sebelum ini menurut laporan daripada Ahli Majlis, pasar ini (Pasar Awam Kuala Kubu Baharu) akan siap pada Julai dan saya mengikuti progres baik pulih pasar itu.
“Saya juga akan tinjau untuk memastikan pelaksanaan ataupun projek-projek (di Kuala Kubu Baharu) siap mengikut jadual ditetapkan,” jelasnya. – UTUSAN










