SEREMBAN: Negeri Sembilan menerima pelaburan awal sebanyak RM150 juta apabila syarikat peneraju produk dan perkhidmatan untuk perlombongan dan pemesinan dari Sweden, Sandvik membuka kilangnya di Bandar Seri Sendayan di sini.
Kilang baharu bagi pengeluaran peralatan pemuat dan pengangkut bawah tanah yang dibina di atas tapak berkeluasan lebih 8,000 meter persegi di Kawasan Perindustrian Sendayan Techvalley itu dijangka mampu menawarkan ratusan pekerjaan kepada penduduk di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kemudahan pengilangan berteknologi tinggi baharu itu dan yang pertama seumpamanya di negara ini juga pastinya dapat menyumbang kepada penciptaan tenaga kerja mahir yang diketahui amat diperlukan.
“Kami yakin dengan momentum baik ini pastinya sasaran pelaburan baharu yang ditetapkan kerajaan negeri melebihi RM10 bilion pada tahun ini mampu dicapai.
“Komitmen dan keutamaan selepas ini adalah untuk kita pelbagaikan sektor daripada segi pelaburan dan ia harus hadir dalam merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri tanpa menumpukan sesuatu pelaburan sahaja,” katanya pada Majlis Pembukaan Kilang Sandvick Equipment Sdn. Bhd. di Kawasan Perindustrian Sendayan Tech Valley di Bandar Seri Sendayan, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Sandvik Mining and Rock Solutions, Business Area Kumpulan Sandvik, Mats Eriksson berkata, pembinaan kilang baharu itu bertujuan untuk menyokong permintaan terhadap pengeluaran pemasangan peralatan muatan Sandvik dan trak bawah tanah yang semakin meningkat termasuk kenderaan elektrik bateri (BEV).
“Di samping itu, kami juga ingin mewujudkan rangkaian pembekal yang teguh di rantau ini. Malaysia adalah antara negara paling maju dan strategik daripada segi teknologi di Asia Tenggara dan mempunyai ramai tenaga kerja mahir, pembekal industri tempatan yang kukuh dan infrastruktur yang boleh dipercayai,”katanya.
Eriksson berkata, dengan adanya kilang baharu ini, pengeluaran syarikat itu dijangka meningkat menerusi pemasangan jentera baharu pemuat Toro LH5171.
“Selain itu, kemudahan kilang ini juga akan memulakan pengeluaran trak Toro TH545i sebagai sebahagian daripada pelan pembuatan pelbagai.
“Bilangan kuantiti pengeluaran juga akan berdasarkan kepada spesifikasi mesin, pengedaran kawasan jualan, dan kapasiti.
“Pengilangan bagi produk bateri dijangka akan bermula pada suku ketiga tahun ini, dengan pemasangan unit BEV dijadualkan pada 2025, sejajar dengan matlamat elektrifikasi masa hadapan,” katanya.-UTUSAN.










