BALING: Runtuhan baharu di Gunung Inas bukan berpunca daripada puing-puing banjir atau fenomena kepala air seperti berlaku pada 4 Julai 2022.
Pegawai Daerah Baling, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, ia juga tiada kaitan dengan kerja pembalakan dan kawasan tanaman durian Musang King dalam jarak 10 kilometer dari tempat kejadian.
Menurutnya, kejadian sebaliknya dipercayai akibat hujan lebat sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) sejak September hingga akhir tahun lalu yang telah menyebabkan beberapa runtuhan kecil berlaku.
“Runtuhan pertama yang agak besar berlaku pada 27 September tahun lalu menyebabkan banjir kilat apabila aliran air deras melalui beberapa aliran anak sungai di situ.
“Kejadian itu sudah tentu menggusarkan penduduk yang bimbang sekiranya runtuhan itu berlaku lebih teruk, tambahan pula dengan faktor cuaca tidak menentu sekarang,” katanya selepas meninjau kaki Gunung Inas di sini, semalam.
Tinjauan turut disertai Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Kedah, Azizan Ali dan beberapa agensi kerajaan lain untuk proses tindakan susulan.
Abdul Gafar berkata, JMG akan melakukan siasatan terperinci termasuk kemungkinan berlaku runtuhan lebih besar selepas ini.
“Saya juga telah membawa isu ini dalam mesyuarat pengurusan bencana daerah dan negeri bagi memberi perhatian yang lebih serius kepada isu runtuhan ini,” katanya.
Sementara itu, penduduk kampung, Zulkifli Ahmad, 61, berkata, sejak 22 tahun menetap di kawasan itu, tidak pernah berlaku banjir teruk sehingga air lumpur masuk ke rumahnya.
“Sebelum ini kalau ada banjir kilat hanya air jernih yang masuk ke halaman rumah separas satu meter, tetapi pada 22 September tahun lalu runtuhan di belakang rumah saya yang hanya 150 meter jaraknya telah menyebabkan banjir lumpur dan masuk ke dalam rumah sehingga paras dada.
“Saya bimbang berlaku runtuhan lebih besar memandangkan hujan kini tidak menentu, menghempap rumah saya dan beberapa buah rumah lagi yang berhampiran,” katanya. – UTUSAN










