PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) menjangkakan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang akan melanda 10 negeri sehingga 7 petang ini.
Menurut MetMalaysia, cuaca buruk tersebut dijangka tertumpu di utara Semenanjung melibatkan Perlis dan Perak (Kinta dan Batang Badang).
“Ribut petir serta hujan lebat turut dijangka melanda Rompin,Pahang diikuti Selangor melibatkan Klang,Petaling, Kuala Langat dan Sepang, serta Putrajaya,” katanya.
Di selatan Semenanjung Malaysia pula, cuaca buruk turut dijangka melibatkan Johor dan Negeri Sembilan (Seremban dan Port Dickson).
“Ribut petir,hujan lebat serta angin kencang juga dijangka akan melanda Alor Gajah dan Melaka Tengah, Melaka,” kata MetMalaysia.
Dalam pada itu, di bahagian Malaysia Timur pula, ribut petir turut diramalkan akan melanda Sarawak melibatkan Kuching dan Samarahan,Sibu (Kanowit), Kapit ( Song dan Kapit), Bintulu dan Limbang (Lawas).
“Cuaca sama turut dijangka berlaku di Sabah melibatkan Pedalaman (Sipitang dan Beaufort), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan dan Beluran) dan Kudat (Kota Marudu dan Pitas) sehingga 7 petang ini,” katanya.
Sementara itu, beberapa kawasan dikesan mengalami paras cuaca di tahap 1 iaitu paras berjaga-jaga.
“Daerah Padang Terap di Kedah, Kuala Krai di Kelantan dan Larut Matang, Perak, Beluran dan Kinabatangan,Sabah dikesan menerima cuaca panas dengan suhu dantara 35 hingga 37 darjah Celcius hari ini,” katanya. – UTUSAN








