KOTA BHARU: Pas Kelantan sedia membantu kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang sekali gus mempertahankan kerusi yang dimenangi sebelum ini.
Setiausaha Wan Roslan Wan Hamat berkata, perkara tersebut sudah menjadi rutin pihaknya setiap kali PRK.
“Menang kalah itu adat pertandingan…yang penting lawan tetap lawan.
“Bagaimanapun, setakat ini kita belum bermesyuarat mengenai perkara tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Kota Darulnaim hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap Nor Zamri Latiff, 56, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ), Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.-UTUSAN










