Polis tumpaskan kumpulan penjenayah curi Toyota Hilux - Utusan Malaysia

Polis tumpaskan kumpulan penjenayah curi Toyota Hilux

SEBUAH kereta Toyota Hilux yang turut dirampas menerusi Op Lejang Khas Hilux yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah mencuri kenderaan jenis pacuan empat roda (4×4) di negeri ini menerusi penahanan empat individu warga tempatan termasuk seorang wanita pada 21 Mei lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, kesemua mereka yang masing-masing berusia di antara 30 hingga 43 tahun itu yang disyaki terlibat dalam kes kecurian kereta 4×4 jenama Toyota Hilux di Negeri Sembilan telah ditahan di kawasan Cheras dan Sungai Buloh, Selangor menerusi Op Lejang Khas Hilux yang dilancarkan.

“Modus operandi kumpulan ini adalah mensasarkan kenderaan 4×4 Toyota Hilux yang diletakkan di kawasan taman perumahan dan menggunakan alatan khas untuk menghidupkan kenderaan tersebut dan seterusnya melarikannya.

“Pasukan serbuan telah berjaya merampas dua buah kenderaan iaitu sebuah Toyota Harrier dan sebuah Toyota Hilux yang disyaki telah dicuri oleh suspek. Barang-barang lain yang turut dirampas adalah set peralatan elektronik yang digunakan untuk mencuri kenderaan, pelbagai huruf dan abjad nombor pendaftaran kenderaan dan set peralatan tangan yang telah diubah suai. 

“Hasil daripada tangkapan kumpulan ini telah berjaya menyelesaikan sebanyak lima kes kecurian kenderaan melibatkan dua kes di kontinjen Negeri Sembilan, dua kes di kontinjen Selangor dan satu kes di kontinjen Kuala Lumpur yang melibatkan kerugian berjumlah RM750,000,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Dzaffir menambah, kesemua individu yang ditangkap itu telah direman selama empat hari bermula 22 Mei lalu.

“Hasil semakan rekod jenayah mendapati kesemua suspek mempunyai sebanyak 54 rekod lampau melibatkan jenayah curi kenderaan, pecah rumah serta terlibat dalam aktiviti penagihan dadah. 

“Kes disiasat dibawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengesan saki baki suspek yang masih bebas,” kata beliau lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×