Polis masih siasat motif kes simbah asid Faisal Halim - Utusan Malaysia

Polis masih siasat motif kes simbah asid Faisal Halim

Razarudin Hussain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis masih mengenal pasti motif sebenar kejadian serangan simbah asid terhadap pemain bola sepak Faisal Halim di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara, Petaling Jaya, pada 5 Mei lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, lakaran wajah suspek yang diberikan adalah hasil daripada maklumat dan informasi tiga individu yang berada di lokasi kejadian.

“Fokus kita pada masa ini adalah mencari identiti suspek yang kita peroleh sebelum mengesannya untuk memudahkan kita menyiasat sekaligus mencari motif utama kejadian serangan berkenaan.

“Selain bergantung kepada usaha mengesan suspek, pihak polis juga sudah merakam percakapan daripada 23 orang saksi kejadian,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Apabila ditanya antara faktor yang menyebabkan siasatan kes itu mengambil sedikit masa berbanding yang lain, beliau berkata, motif juga turut menjadi elemen utama sama ada kes serangan

Faisal turut mempunyai kaitan dengan serangan dan samun terhadap beberapa pemain bola sepak negara.

“Poses mengesan cap jari pelaku juga tidak banyak membantu dalam mengesan suspek selepas hanya tiga daripada lapan cap jari yang diperoleh didapati sempurna manakala bakinya sukar dikesan.

“Oleh yang demikian, pihak polis amat mengalu-alukan maklumat orang ramai terutama saksi kejadian yang tahu tentang individu yang dikesan berdasarkan lakaran wajah suspek,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menahan seramai tiga individu dan kesemua mereka dibebaskan selepas didapati tidak mempunyai kaitan namun akan dipanggil semula sekiranya dirasakan perlu.

“Tangkapan ketiga yang dilakukan di kawasan kediaman Faizal Halim tidak didedahkan selepas siasatan mendapati individu terbabit disahkan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan sekitar kediamannya,” katanya.

Beliau berkata, selain proses cap jari, mengesan suspek melalui lakaran wajah yang disiarkan, pihak polis juga turut sedang menyiasat daripada pelbagai sudut lain .

Sehubungan itu, Razarudin meminta orang ramai untuk memberikan ruang kepada PDRM dalam menjalankan siasatan kes serangan terbabit.

“Penyiasatan kita juga ke arah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang kita guna (untuk siasatan). Katakanlah, satu saksi cakap berbeza berbanding footage itu, kita akan panggil saksi itu balik, untuk kita tambah atau perbetulkan kenyataan sebelum ini,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×