KUANTAN: Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) sedang mengenalpasti beberapa kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan projek pembangunan dan kemudahan di sekitar stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Nizar Najib berkata, antara yang diberikan keutamaan adalah di Kawasan Perindustrian Gebeng, Bentong dan Kompleks Makanan Halal Gambang.
Katanya, bagi Kawasan Perindustrian Gebeng, PKNP dalam perancangan membangunkan tapak Industri Kecil Sederhana (IKS) baharu yang berkonsepkan ‘Park Management’ bagi memberikan peluang kepada pelabur tempatan dan luar untuk bersama merancakkan lagi pertumbuhan di kawasan terbabit.
“PKNP juga kini sedang mengenal pasti kawasan industri baharu terutama di Wilayah Pahang Barat dengan mengambil kira secara berperingkat di samping dapat mewujudkan keseimbangan pembangunan ekonomi di wilayah-wilayah negeri Pahang.
“Dengan wujudnya pembangunan di sekitar stesen ECRL ini secara tidak langsung dapat menyumbang dalam pembangunan ekonomi negeri Pahang,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Rodzuan Zaaba (BN-Jenderak) berkaitan perancangan kerajaan negeri bagi meningkatkan lagi sektor perindustrian di Pahang.
Selain itu, Mohd. Nizar berkata, kerajaan negeri juga komited dalam pembangunan industri aeroangkasa sebagaimana digariskan dalam Pelan Tindakan Khas Daerah Kecil Gebeng 2035 yang dilancarkan pada 13 September 2022.
“Melalui cadangan pembangunan projek Lapangan Terbang Antarabangsa dan Bandar Aeroangkasa yang akan dibangunkan di Seksyen 4, Kawasan Perindustrian Gebeng, ia juga telah menarik minat ramai pelabur kerana projek ini berkembang serta ia menjadi salah satu pemangkin bagi pertumbuhan ekonomi negeri Pahang.
“Kerajaan negeri juga mensasarkan untuk menguasai sekurang-kurangnya satu peratus daripada pasaran Maintenance, Overhaul, and Repair (MRO) Asia Pasifik yang dianggarkan bernilai RM15 trilion.
“Kerajaan negeri juga mengadakan libat urus bersama pihak Malaysia Space Agency (MYSA) dan kerjasama dalam bidang sains, teknologi terutama dalam bidang penyelidikan sumber manusia selaras Dasar Angkasa Negara 2030 yang dilancarkan pada 24 Mei tahun lalu,” katanya. – UTUSAN










