PETALING JAYA: Peningkatan sokongan pengundi Melayu dan penjawat awam merupakan antara faktor utama kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
Calon PH meraih kemenangan enam daripada lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) kawasan majoriti pengundi Melayu di samping sokongan 592 pengundi awal dalam kalangan anggota tentera dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Yusri Ibrahim berkata, PH masih boleh mempertahankan kemenangan di kawasan jumlah pengundi Melayu yang secara relatifnya agak besar di sebalik kempen agresif PN yang masih menggunakan sentimen kaum dan agama.
Di samping itu katanya, penjawat awam dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, memberi sokongan padu kepada PN kini mula beralih sokongan sekali gus membawa mesej sangat baik kepada kerajaan yang mereka meletakkan harapan besar untuk melaksanakan segala dasar dan polisi negara.
“Malah penyokong tegar UMNO yang pernah memberi undi kepada PN dalam PRN 2023, sebahagian kecilnya kembali menyokong parti Kerajaan Perpaduan sekali gus mencerminkan mereka sudah memahami rasional mengapa parti perlu bersama PH.
“Walau bagaimanapun ini baru permulaan, perjalanan UMNO untuk meyakin dan memulihkan semula sokongan ahli mereka masih jauh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu kelmarin menyaksikan PH menerusi calon mereka, Pang Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi apabila memperoleh 14,000 undi menewaskan tiga lagi pencabarnya.
Pencabar utama Sock Tao daripada PN, Khairul Azhari Saut mendapat 10,131 undi.
Dalam pada itu, Mohd. Yusri berkata, politik emosi tidak mampu bertahan lama kerana akhirnya pengundi akan menilai politik prestasi.
Katanya, pengundi Kuala Kubu Baharu khususnya kaum Melayu, mula mempersoalkan prestasi tiga wakil rakyat PN dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor sekali gus menyebabkan rasa kurang puas hati dan
semakin sangsi untuk sekali lagi memberi undi kepada parti itu.
“Strategi jangka pendek PN untuk menang di Kuala Kubu Baharu dengan mengenepikan calon Gerakan dan meletakkan calon Bersatu umpama `yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran.’
“Strategi ini menyebabkan bukan Melayu khususnya Cina semakin menjauhi PN. Langkah ini juga turut melemahkan kedudukan Gerakan untuk tempoh jangka panjang kerana sepatutnya PN membantu Gerakan untuk terus kuat bagi mewakili pengundi bukan bumiputera,” katanya.
Felo Kanan Akademi Nusantara (NASR), Dr. Azmi Hassan pula berkata, bukan sahaja sokongan pengundi Melayu meningkat malah kaum lain khususnya Cina dan India juga cenderung kepada PH berbanding PN.
Katanya, usaha UMNO untuk memikat hati pengundi Melayu dalam tempoh dua minggu berkempen menunjukkan hasil memberangsangkan apabila enam daripada lapan PDM kawasan kaum itu dimenangi PH walaupun meletakkan calon Cina daripada DAP. – UTUSAN










