KOTA BHARU: Syarikat TEC United Auto Sdn. Bhd yang merupakan pengedar sah kenderaan berjenama Isuzu di negeri ini melabur sebanyak RM1.5 juta menerusi pembukaan cawangan ketiga di Gua Musang.
Pengarah Urusannya Tan Yiew Tiong berkata, pembukaan cawangan itu secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan kepada warga tempatan khususnya di Gua Musang sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat.
Menurutnya, cawangan yang membabitkan pusat perkhidmatan kepada pelanggan itu dijangka beroperasi pada penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan.
“Permintaan tinggi di Gua Musang memberi dorongan kepada pihak kami untuk beroperasi kawasan tersebut. Sebelum ini kami mempunyai dua cawangan iaitu di Tapang, Kota Bharu dan Tanah Merah.
“Saya berharap cawangan di Gua Musang nanti, akan memberi kemudahan kepada pelanggan tersebut dan pada masa sama memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Perasmian Bilik Pameran Isuzu di Bangunan Ibu Pejabat TEC United Auto Sdn di Jalan Sultan Ibrahim di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Shunsuke Okazoe.
Yiew Tiong memberitahu, pada masa sama pihaknya akan mengeluarkan sejumlah perbelanjaan bagi menaik taraf perkhidmatan termasuk menambah baik kemahiran pekerja-pekerja supaya dapat memberi perkhidmatan yang bermutu serta terbaik untuk semua pelanggan Isuzu di negeri ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia Sdn Bhd, Shunsuke Okazoe berkata, sebagai pengeluar trak tertua Jepun, Isuzu menjalankan perniagaan di lebih 125 negara di seluruh dunia.
Katanya, produk keluarannya merupakan yang baik dan hubungan pelanggan yang kukuh telah meletakkan Isuzu di kedudukan nombor satu dan banyak di pasaran di seluruh dunia.
“Dengan semakin ramai orang mengenali produk Isuzu kami, adalah penting untuk kami sentiasa menambah baik dan menaik taraf untuk memenuhi permintaan pelanggan,” ujarnya.-UTUSAN










