KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dipenjara lima tahun dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja berusia 15 tahun yang baru beberapa hari dikenalinya melalui laman Instagram (IG).
Hakim Mohd. Kafli Che Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Syazwan Fitri Abdullah, 21, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan, hari ini.
Bagi pertuduhan merogol dan amang seksual fizikal, mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara lima tahun dan empat tahun bermula dari tarikh tangkap pada 20 November 2023 serta dikenakan satu sebatan bagi setiap pertuduhan. Hukuman berkuat kuasa seretak.
Sebagai tambahan kepada pertuduhan amang seksual fizikal, mahkamah turut mengarahkan Mohamad Syazwan menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan. Dia turut diperintah menjalani pengawasan polis selama setahun selepas keluar penjara.
Bagi kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut kira-kira pukul 4 petang, 19 November 2023 di tempat letak kereta Blok B, PPR Raya Permai, Jalan Landai Permai, Sungai Besi di sini.
Tuduhan merogol, dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan manakala amang seksual fizikal mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Kedua-duanya memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Ketika prosiding, Mohamad Syazwan yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan perlu menjaga neneknya yang terpaksa menjadi gelandangan dan tidur di tangga selepas rumah yang mereka diami ditarik balik oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ujar tertuduh, dia juga perlu menjaga adik perempuan berusia 16 tahun yang kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), yang akan keluar dua tahun lagi.
“Bapa baru keluar dari penjara dan tidak pedulikan kami manakala ibu sudah lama meninggal dunia,” ujarnya ketika memohon keringanan hukuman.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Alias memohon hukuman setimpal agar memberi pengajaran kepada tertuduh dan bakal pelaku lain dengan mengambil kira kepentingan awam.
Menurut fakta kes, sebelum kejadian itu, kedua-duanya yang tinggal berdekatan, berkenalan melalui IG dan bersembang beberapa kali. Tertuduh kemudian mengajak mangsa bertemu di parkir kereta lalu merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadapnya. – UTUSAN










