SEREMBAN: Penduduk di Kampung Batu 3, Mambau, Rasah di sini menggesa pihak berwajib untuk segera membaiki runtuhan tebing sungai yang berlaku di laluan utama keluar masuk di kampung tersebut.
Menurut mereka, runtuhan tebing Sungai Linggi itu sudah berlaku sejak sebulan lalu kini semakin serius selepas hujan lebat lewat petang semalam yang turut menjejaskan jalan tersebut yang kini telah pun ditutup pihak berkuasa.
Salah seorang penduduk, Rusfaizal Balia, 48, berkata, aduan mengenai masalah runtuhan tebing sungai sudah diadukan oleh penduduk malah pihak berwajib juga telah meninjau keadaannya sebelum ini namun tiada sebarang tindakan segera diambil untuk mengatasinya.
“Sehinggalah malam semalam, hujan lebat melanda dan paras air sungai meningkat lalu menghakis tebing dan meruntuhkan jalan. Kami memang sudah menjangka perkara ini akan berlaku.
“Tiada tindakan diambil oleh pihak berwajib melainkan meletakkan kanvas menutup tanah yang terhakis selain meletakkan kon sebagai amaran kepada penduduk dan pengguna jalan untuk berhati-hati.
“Sepatutnya masalah ini diambil tindakan segera sebelum masalah menjadi lebih serius seperti hari ini sehingga ia ditutup daripada digunakan oleh penduduk,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Rusfaizal memberitahu, penutupan jalan itu sudah tentu mendatangkan masalah kepada penduduk yang menggunakan jalan itu untuk pelbagai urusan seharian.
“Jalan ini tidak boleh dibiarkan lama ditutup, jalan alternatif ada namun sedikit sempit dan jauh, saya pasti dalam tempoh selepas ini keadaan jalan di situ akan sesak dengan kenderaan kerana semua akan bertumpu ke situ sama ada mahu ke tempat kerja ataupun ke sekolah.
“Bagaimanapula jika berlaku kecemasan? sebagai contoh jentera bomba untuk masuk ke kampung ini, sudah tentu ia perlu mengambil masa berbanding menggunakan jalan utama sebelum ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambau, Yap Yew Weng berkata, masalah runtuhan tebing di kampung itu sudah dikesan tiga minggu lalu dan pihak bertanggungjawab sudah diarahkan untuk meninjau lokasi runtuhan.
“Masa tu runtuhan tidak berapa serius macam sekarang. Agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) telah meletakkan papan tanda dan kon untuk mengingatkan orang awam supaya tidak mendekati kawasan runtuhan.
“Bagaimanapun, malam tadi hujan lebat sejak pukul 7 malam menyebabkan runtuhan menjadi lebih teruk dan pihak polis telah pun menutup jalan tersebut,” katanya.
Jelas beliau, jalan berkenaan juga menjadi laluan pintas terutama pengguna jalan raya antara Port Dickson dan Seremban sekiranya berlaku kesesakan di jalan utama.
Pihaknya justeru sudah memohon pihak pentadbiran daerah, PBT, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menyelesaikan masalah runtuhan tersebut.-UTUSAN.










