TELUK INTAN: Penduduk Kampung Batu 9, Jalan Changkat Jong di sini mendakwa kawasan kediaman mereka kerap dilanda banjir setiap kali hujan lebat dengan insiden terbaharu berlaku semalam.
Keadaan itu meresahkan penduduk yang mendakwa kawasan mereka mudah dinaiki air apabila hujan, dipercayai disebabkan sistem saluran air yang tidak sempurna di kawasan mereka.
Kampung itu antara kawasan yang dinaiki banjir semalam menyebabkan 42 mangsa daripada 10 keluarga di daerah Hilir Perak dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) PPS di Dewan Kampung Padang Tembak.
Mangsa banjir, Nursitilaila Yahya, 28, berkata, banjir mula melanda kawasan itu sejak pukul 6 petang semalam berikutan hujan selama hampir tiga jam.
Katanya, hujan lebat menyebabkan air dari Sungai Bidor yang terletak berhampiran kawasan mereka melimpahi tebing.
“Kawasan ini kerap dilanda banjir, apabila hujan kami mula bimbang. Perasaan bimbang akan menghantui penduduk di kampung ini setiap kali hujan terutama apabila melihat paras air Sungai Bidor yang dalam dan arusnya yang deras.
“Saya berharap pihak yang berkenaan dapat melihat punca masalah banjir di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi mangsa banjir di kampung itu, Muhammad Nazarul Haqim Mohd Salleh, 19, berkata, dia tidak dapat tidur sejak semalam selepas air sungai masuk melimpah ke kawasan kampung.
“Banjir kali ini agak pelik kerana ia berlaku pada musim panas. Banjir juga menyebabkan bau busuk daripada air yang bertakung,” katanya.









