Pelajar tingkatan lima didakwa rogol, liwat kekasih

Pelajar tingkatan lima didakwa rogol, liwat kekasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang pelajar tingkatan lima didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan merogol dan meliwat kekasihnya di sebuah rumah kosong dekat sini pada September dan Mac lalu.

Tertuduh berusia 17 tahun itu  bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ketika kejadian di sebuah rumah kosong dalam daerah ini kira-kira pukul 8 hingga 10 malam pada 29 September tahun lalu.

Remaja lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa meliwat remaja tersebut di lokasi yang sama kira-kira pukul 2 petang pada 9 Mac lalu. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (akta 792) yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Nazriani Nik Ab. Rahman.

Terdahulu, Muhammad Aiman Syahmi mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000 kerana kes tersebut melibatkan mangsa kanak-kanak.

Nik Nazriani dalam rayuannya memohon jumlah ikat jamin paling minimum memandangkan tertuduh masih belajar dan di bawah umur.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 7 Ogos ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – UTUSAN

 

 

TERTUDUH diiringi polis semasa menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN