PBT agresif tangkap lembu berkeliaran - Utusan Malaysia

PBT agresif tangkap lembu berkeliaran

PIHAK MBS menangkap lembu-lembu yang berkeliaran di sebuah kawasan perumahan di Sendayan, Seremban baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tindakan menangkap lembu-lembu yang berkeliaran di kawasan awam akan dilaksanakan secara agresif oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku termasuk kemalangan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, tindakan tegas itu diambil hasil mesyuarat bersama semua PBT yang dijalankan awal tahun ini susulan aduan berterusan yang diterima orang ramai berkenaan lembu-lembu berkeliaran ini telah menyebabkan kacau ganggu di kawasan setempat.

“Banyak dilaporkan kemalangan yang berlaku adalah disebabkan oleh lembu. Saya telah adakan satu mesyuarat bersama semua PBT pada awal tahun ini dan mengambil keputusan untuk melaksanakan tangkapan lembu ini dijalankan secara agresif.

“Untuk maklumat sepanjang empat bulan tahun ini, sebanyak lapan ekor lembu telah ditangkap di kawasan Senawang Perdana, Taman Rasah Jaya dan Laman Sendayan oleh pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS),” katanya ketika dihubungi.

Arul Kumar menambah, selepas ditangkap, pemilik lembu akan diberikan tempoh sehingga tujuh hari untuk menuntut balik lembu tersebut dengan bayaran RM2,000 untuk setiap seekor. 

“Jika tidak dituntut lembu itu akan dilelong. Tindakan ini telah membawakan hasil positif di mana di beberapa tempat yang telah ditangkap tersebut tidak ada lagi lembu di kawasan awam dan kita akan teruskan.

“Tindakan tangkapan ini bukan untuk menghukum penternak tetapi sebagai satu pengajaran dan mendidik supaya tidak melepaskan lembu di merata tempat,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×