Panggung wayang tertua Melaka dihidupkan semula

Panggung wayang tertua Melaka dihidupkan semula

AB. RAUF Yusoh (tengah) merasmikan Pelancaran Panggung Bangsawan Melaka di Jalan Munshi Abdullah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Cathay Cinema di Jalan Munshi Abdullah di sini yang terkenal pada era 70-an kini berwajah baharu dikenali sebagai Panggung Bangsawan Melaka.

Bangunan yang terletak berhampiran Sungai Melaka dihidupkan semula bagi menggamit kembali nostalgia pada 1963 sebagai panggung wayang tertua di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusof berkata, ia bakal menjadi destinasi wajib dikunjungi pelancong sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

Menurutnya, bangunan itu mampu memuatkan sehingga 392 penonton, dilengkapi dengan penghawa dingin, peralatan teknikal, sistem audio dan pencahayaan canggih masa kini.

“Panggung Bangsawan yang berwajah baharu akan menjadi satu lagi daya tarikan sempena TMM 2024. Dulu panggung ini adalah panggung wayang tertua di negeri ini dan amat popular suatu ketika dahulu.

“Panggung ini dinaik taraf demi mengangkat martabat seni dan budaya yang menjadi teras kepada rakyat Melaka untuk kembali ke persada seni serta warisan.

“Saya yakin usaha ke arah pemerkasaan industri pementasan dapat memberi peluang kepada penggiat seni tanah air untuk menterjemahkan realiti kehidupan melalui cerita dan aksi yang bukan sahaja dapat menghiburkan, bahkan dapat mencuit perasaan dan pemikiran masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Panggung Bangsawan Melaka, semalam.

Tambah Ab. Rauf berkata, sebanyak 10 syarikat penerbitan menjalinkan kerjasama untuk pelbagai pengisian pementasan kesenian, kebudayaan, teater muzikal, persembahan hiburan termasuk teater kanak-kanak bermula Jun hingga Disember ini.

“Ada pelbagai kaedah untuk menarik kehadiran pengunjung termasuk mereka yang membeli tiket boleh menaiki bot Melaka River Cruise (MRC) dan beca untuk datang ke Panggung Bangsawan Melaka.

“Perkara tersebut masih di peringkat perbincangan dan Panggung Bangsawan Melaka ini akan diselia sepenuhnya oleh anak syarikat Perbadanan Melaka (MCORP) iaitu MCORP Corporate Services Sdn. Bhd.,” jelasnya.

Bermula Jun ini, Panggung Bangsawan Melaka bakal diisi dengan pelbagai program antaranya Tribute P. Ramlee, Ronggeng Vaganza, Teater Bangsawan Tun Perak dan Dangdut Millenia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN