RANTAU PANJANG: Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) mencatatkan rampasan pelbagai barangan bernilai RM21.292 juta menerusi penugasan Ops Taring Wawasan Kelantan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri bermula Januari hingga semalam.
Timbalan Komandernya Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, sepanjang tempoh tersebut seramai 484 individu telah berjaya diberkas atas pelbagai kesalahan jenayah.
Menurutnya, kejayaan itu hasil kerjasama erat antara pasukan bersama Polis Kontinjen Kelantan dan agensi penguatkuasaan lain yang bertugas di kawasan sempadan.
“Kawalan sempadan terus diperketatkan dari masa ke masa supaya kawasan ini berada pada tahap terbaik.
“Selain itu rondaan secara berkala akan terus diperhebatkan oleh anggota bertugas yang mengawal sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Hakemal memberitahu, pada masa sama semua anggota turut diingatkan supaya berdisiplin dan amanah dalam melaksanakan tugas bagi membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan.
Katanya, selain itu masyarakat turut disaran agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah rentas sempadan kepada pihak berkuasa.-UTUSAN










