SEREMBAN: Sebanyak 28 buah motosikal disita dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di Jalan Persiaran Pusat Bandar berdekatan Dataran Nilai tengah malam semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, hasil operasi itu juga turut mengesan pelbagai kesalahan termasuk pengubahsuaian ekzos struktur kenderaan tanpa kebenaran.
Menerusi operasi itu juga kata beliau, sejumlah 140 saman atas pelbagai kesalahan juga telah dikeluarkan.
“Memperagakan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan mencatatkan jenis kesalahan tertinggi iaitu sebanyak 27 kesalahan.
“Diikuti tidak memasang cermin sisi sebanyak 24 kesalahan, ubah suai ekzos (21), tiada lesen (13), ubah suai struktur kenderaan (11), penunggang bawah umur (1), cukai jalan tamat tempoh (4) dan selebihnya lain-lain kesalahan.
“Daripada jumlah motosikal yang diperiksa, sebanyak 51 buah kenderaan telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai untuk tindakan selanjutnya. Bagi 28 buah motosikal yang disita tersebut, siasatan akan dibuat dibawah di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, operasi seumpamanya akan terus dijalankan dalam usaha membendung kegiatan samseng jalanan yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan pengguna jalan raya.-UTUSAN.










