BUKIT GANTANG: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal tidak akan menjawab notis yang diterimanya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, beliau menerima notis tersebut semalam dan menyifatkan ia tidak mempunyai apa apa makna.
“Saya sudah pun menerima surat notis itu dan ia tidak membawa apa-apa makna dan saya tidak akan menjawabnya dalam tempoh 14 hari yang telah diberikan.
“Saya nak tunggu apa tindakan yang akan diambil selepas tempoh 14 hari nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat rumah mangsa banjir di Kampung Jelutong, Changkat Iboi di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai surat yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, kepada semua Ahli Parlimen parti itu yang sebelum mengumumkan sokongan masing-masing kepada kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya tindakan Bersatu itu tidak betul dan merosakkan fikiran rakyat serta mengganggu Ahli Parlimen yang terlibat dalam menjalankan tugas di kawasan masing -masing.
“Saya telah merujuk kepada peguam serta bekas hakim mengenai notis tersebut dan memaklumkan terdapat kesalahan kerana mereka sengaja membuat gangguan dan menghasut rakyat ” katanya.











