SEREMBAN: Kekerapan berlakunya kejadian pokok tumbang kebelakangan ini turut mendorong sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Skuad Pantas Nilai untuk tampil menghulurkan bantuan.
Menurut pengerusinya, Mohd. Redzwan Shujaudin, sepanjang tempoh dua bulan lepas, kira-kira 12 batang pokok tumbang dan 20 batang pokok berisiko telah pihaknya potong dan membersihkannya termasuk menerusi bantuan kecemasan.
“Boleh dikatakan Skuad Pantas Nilai turun membantu melakukan kerja-kerja kecemasan satu hingga tiga kali dalam seminggu. Bantuan kecemasan yang dihulurkan seperti membersihkan pokok tumbang dan memotong pokok berisiko.
“Secara keseluruhannya, dalam tempoh tersebut juga sebanyak 15 kali kami telah membantu pasukan keselamatan di lokasi kejadian ketika musim hujan ini. Jika satu-satu lokasi itu melibatkan banyak batang pokok tumbang, kami akan mengerahkan sekurang-kurangnya sembilan orang ahli kami untuk membantu,” katanya ketika dihubungi.
Mohd. Redzwan berkata, memandangkan masyarakat setempat juga mula menyedari kewujudan Skuad Pantas Nilai, pihaknya telah menerima banyak permohonan bagi membantu menebang pokok berisiko.
“Kerja-kerja kecemasan yang dilakukan pada tahun ini juga semakin mencabar, banyak aduan pokok berisiko diterima.
“Bagaimanapun Alhamdulillah, hasil kecekapan semua pihak termasuk pasukan keselamatan kami dapat menghulurkan bantuan dengan baik,” katanya lagi.-UTUSAN.










