ALOR GAJAH: Sanggup berhenti kerja kerana ingin memberi fokus mengerjakan ibadah haji pada usia muda dan akan berangkat ke Mekah pada 29 Mei ini.
Itu pengorbanan dibuat Ilman Izami Norman Kamil, 26, demi menjadi tetamu Allah untuk musim haji tahun ini dan akan mencari pekerjaan lain selepas melengkapkan Rukun Islam kelima itu.
“Saya tidak berasa ralat ambil keputusan berhenti kerja kerana mahu memberi tumpuan mengerjakan ibadah haji buat pertama kali.
“Saya sebenarnya sangat teruja dan telah lama menanti untuk mendapat panggilan ke Mekah dan alhamdulillah, awal Januari lalu saya mendapat panggilan daripada Tabung Haji (TH),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada majlis penyampaian sumbangan kepada bakal haji Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di sini.
Sementara itu, ibu tunggal, Masrisah Md. Sari, 58, berkata, hajatnya untuk menunaikan haji bersama suami tidak kesampaian apabila pasangannya meninggal dunia pada 2018.
Katanya, dia redha dengan ketentuan Ilahi dan dijadualkan berangkat pada 26 Mei ini.
“Saya daftar untuk pergi haji pada 2009, hampir 15 tahun akhirnya impian untuk ke tanah suci jadi kenyataan. Tapi saya rasa sedih terpaksa pergi seorang diri, hajat suami hendak pergi bersama tidak kesampaian,” katanya. – UTUSAN










