Negara terpaksa bergantung pada kemahiran asing 15, 20 tahun akan datang

Negara terpaksa bergantung pada kemahiran asing 15, 20 tahun akan datang

Sejumlah 402,956 orang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal memulakan sesi peperiksaan itu secara bertulis yang akan bermula pada 2 Januari hingga 6 Februari depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Negara terpaksa bergantung kepada tenaga kerja mahir asing dalam tempoh 15 hingga 20 tahun lagi sekiranya trend calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) enggan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi berterusan.

Sektor-sektor kritikal yang memerlukan tenaga kerja mahir termasuk industri pembuatan, pembinaan, teknologi, kejuruteraan dan perubatan yang memerlukan kemahiran khusus.

Profesor Khair Fakulti Pengurusan, Pendidikan dan Kemanusiaan, Kolej Universiti Antarabangsa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (UCMI), Profesor Dr. Bustam Kamri berkata, kekurangan lepasan SPM melanjutkan pengajian akan mengurangkan pembangunan kemahiran tempatan yang boleh menjejaskan kemampuan negara untuk inovasi dan kemajuan teknologi kritikal untuk pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Katanya, kebergantungan kepada tenaga kerja asing boleh diatasi dengan menggalakkan lepasan SPM melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pendidikan vokasional.

“Tenaga kerja mahir tempatan yang kukuh boleh menyokong perkembangan ekonomi negara dengan mengurangkan kebergantungan pada tenaga kerja asing dan mengekalkan pendapatan dalam negara.

“Sekiranya kerajaan memberikan alternatif pendidikan berorientasikan kemahiran yang praktikal, lebih ramai pelajar yang mungkin tidak cemerlang dalam akademik dapat mencari laluan yang sesuai untuk masa depan mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Bustam turut berkata, kebanyakan calon lepasan SPM enggan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi disebabkan program pengajian yang kurang relevan dengan keperluan semasa dan tidak mampu menjamin peluang pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Program pengajian yang mempunyai jaminan pekerjaan perlu diutamakan antaranya bidang perhotelan yang sentiasa memerlukan tenaga kerja dan tidak terjejas oleh kemelesetan ekonomi.

“Sistem pendidikan perlu beralih dari akademik semata-mata kepada pembelajaran berasaskan industri seperti kemahiran serta program yang lebih praktikal memberikan kelebihan kepada pelajar dalam pasaran kerja berbanding program yang hanya berasaskan teori,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN