MELAKA: Peningkatan mendadak bilangan murid di sekolah rendah agama (SRA) memerlukan kelulusan segera daripada kerajaan Persekutuan bagi pembinaan 28 SRA baharu di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, pada tahun lalu SRA di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mempunyai seramai 46,242 pelajar dan angka itu meningkat kepada 48,976 orang, tahun ini.
Jelasnya, hal ini menyebabkan sebanyak 32 daripada 192 buah SRA terpaksa berkongsi bangunan dengan sekolah kebangsaan (SK) untuk sesi pembelajaran.
“Jumlah kemasukan pelajar SRA khususnya JAIM direkodkan meningkat mencecah hampir 3,000 orang sehingga April tahun ini.
“Pada hari ini kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan pendidikan agama semakin meningkat, sekali gus jumlah pendaftaran pelajar bagi SRA juga bertambah khususnya SRA JAIM.
“Justeru, kita berharap agar kerajaan Persekutuan dapat meluluskan segera pemohonan 28 SRA yang telah dikemukakan bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk memastikan semua pelajar di kawasan terlibat mendapat kemudahan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Ujian Penilaian Kelas al-Quran dan Fardu Ain (UPKK), Syahadah Ibtiadiah Arabiah (SIA) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Peringkat Negeri di sebuah hotel di Banda Hilir di sini, hari ini.
Seramai 103 pelajar dari 40 sekolah menerima anugerah dalam pelbagai kategori selepas meraih pencapaian cemerlang khususnya dalam bidang kurikulum sepanjang 2023.
Tambah Rahmad, pembinaan SRA baharu penting untuk memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid-murid berlangsung dalam keadaan kondusif.
“Permohonan ini adalah demi memastikan setiap pelajar dapat menjalani sesi pembelajaran dalam suasana lebih selesa dan kondusif. Jika ia tidak dibina dengan segera, maka pelajar akan terpaksa ditempatkan di bangunan guna sama ini,” ujarnya. – UTUSAN










