Masyitah beransur pulih, jalani tiga pembedahan bulan ini - Abang - Utusan Malaysia

Masyitah beransur pulih, jalani tiga pembedahan bulan ini – Abang

KEADAAN tumit Siti Nurul Masyitah yang cedera akibat dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki mabuk di Lebuhraya EDL, Johor Bahru, 11 Mei lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Atlet kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah Md. Elias, 22, yang mengalami kecederaan parah selepas dirempuh dan diseret kereta dipandu mabuk selamat selesai menjalani pembedahan pertama, semalam.

Namun menurut abangnya, Muhammad Syafiq, 29, Siti Nurul Masyitah perlu menjalani dua lagi pembedahan kulit yang terpaksa dilakukan secara berasingan kerana melibatkan beberapa bahagian kulit yang tercedera.

“Alhamdulillah, dia telah selamat jalani pembedahan pertama semalam. Doktor meminta dia teruskan berehat sebelum pembedahan kedua dan ketiga dibuat tidak lama lagi, dijangka bulan ini juga.

“Selain tiga bahagian luka di badannya, dia juga perlu jalani satu pembedahan di tumit kanannya yang turut cedera sehingga menampakkan tulang. Insya-Allah mohon doakan kesembuhannya,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Muhammad Syafiq memberitahu, keadaan adiknya semakin bertambah baik, termasuk sudah berselera makan, bersemangat dan ceria. 

“Sejak Rabu lalu dia mahu makan ‘chicken chop’, namun kesihatannya ketika itu tidak berapa baik dan pening-pening. Tetapi hari ini saya sudah belikan makanan itu,” katanya yang mengambil cuti untuk membantu menjaga Siti Nurul Masyitah.

Pada 11 Mei lalu, Siti Nurul Masyitah yang merupakan penuntut Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Pasir Gudang dirempuh mengalami kecederaan parah akibat dirempuh kereta yang dipandu seorang lelaki mabuk ketika dia menunggang motosikal di Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) menuju ke Southkey, Johor Bahru.

Akibat kemalangan itu, dia mengalami patah tulang pelvik, bahu kanan serta luka di belakang badan dan kaki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×